Ringkasan AI
- Muhammad Haziq Aminuddin menawarkan ganjaran RM6,000 kepada sesiapa yang menemui burung kakak tuanya yang hilang selepas dikejar burung helang ketika aktiviti terbang bebas di Changkat Lada, Seberang Perak.
- Burung kakak tua itu sangat sensitif dan memerlukan penjagaan rapi; ia hilang pada 12 Jun dan masih belum ditemui, walaupun usaha mencarinya telah dilakukan melalui media sosial dan bantuan rakan-rakan.
- Burung yang bernama Ujin ini baru dipelihara selama empat bulan dan mempunyai penanda dengan nombor telefon Muhammad Haziq pada kakinya; orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubunginya di talian 011-36027006.
Muhammad Haziq Aminuddin, 30, berkata, burung kakak tua miliknya itu hilang selepas dikejar burung helang ketika aktiviti terbang bebas yang dilakukan di kawasan sawah padi berhampiran kilang beras di Changkat Lada, Seberang Perak pada 12 Jun lalu.
Menurutnya, ketika kejadian, burung tersebut dalam perjalanan pulang ke arahnya selepas aktiviti tersebut namun melarikan diri selepas panik dikejar seekor burung helang yang berada di lokasi berkenaan.
"Secara tiba-tiba burung ini pergi ke arah lain sebelum menghilang. Jadi saya amat bimbang kerana masih tidak ditemui sehingga ini. Burung ini amat sensitif dan memerlukan penjagaan rapi. Burung ini baru empat bulan saya pelihara, sebab itulah saya tawarkan ganjaran RM6,000.
"Jadi, sesiapa yang ada menemui burung tolonglah pulangkan sebab kalau tidak dijaga dengan baik ia akan mati. Hubungi saya jika ada terjumpa burung kakak tua ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Muhammad Haziq berkata, aktiviti terbang bebas itu bukanlah pertama kali dilakukan kerana lebih 20 kali dibuat untuk melatih burung tersebut pulang sendiri selain memberi kebebasan kepada haiwan tersebut.
Menurut pemilik ladang kelapa sawit itu, pada kaki burung kakak tua tersebut diletakkan penanda yang tertera nombor telefonnya supaya mudah dihubungi sesiapa yang menemuinya.
Jelasnya, burung kakak tua yang diberi nama Ujin itu merupakan satu-satunya burung yang dipelihara kerana minat dan menjadikan aktiviti bersama haiwan tersebut sebagai hobi.
Dia menjelaskan hebahan mengenai kehilangan haiwan tersebut sudah pun dibuat menerusi pelbagai platform media sosial selain turut mendapat bantuan daripada rakan-rakan yang memelihara burung jenis tersebut.
Kata Muhammad Haziq, setakat ini laporan polis terhadap kehilangan tersebut belum dibuat dan jika masih belum ditemui dalam masa terdekat, laporan tersebut akan dibuat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan burung kakak tua itu boleh menghubungi Muhammad Haziq di talian 011-36027006. - Sinar Harian