Proses pemilihan semula MIC untuk jawatan nombor satu parti itu oleh kumpulan pro bekas presiden G. Palanivel tidak akan dipantau oleh mana-mana firma audit.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Presiden MIC, Datuk K. Vijayanathan yang menegaskan, keputusan itu dibuat kerana pihaknya mampu mengendalikan keseluruhan proses pemilihan itu secara telus.

"Kami tidak rasa sebuah firma audit bebas harus memantau pemilihan ini.

"Kami mampu menjalankan pemilihan ini tanpa campur tangan luar.

"Kebiasaannya firma audit bebas hanya akan terlibat jika terdapat dakwaan-dakwaan salah laku," katanya semasa satu sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau, yang dilantik ke jawatan itu pada 25 Julai, berkata pemilihan Presiden akan diadakan pada 9 Ogos di HGH Convention Centre dari pukul 10 pagi hingga 12 tengahari.

"Calon Presiden mestilah seorang yang telah menjadi ahli MIC lebih daripada 10 tahun dan merupakan ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

"Selepas proses pencalonan berakhir, sekiranya hanya ada satu calon, maka kami akan mengumumkan beliau sebagai Presiden MIC yang baru," katanya sambil menambah pihaknya akan meminta pihak polis memantau proses pemilihan supaya ia berlangsung secara baik.

Sebelum ini, Palanivel berkata pihaknya akan membawa masuk juruaudit dan beberapa pakar perundangan untuk memantau proses pemilihan baru parti supaya lebih telus.