KUALA LUMPUR: Pengecualian cukai jualan untuk kereta penumpang membabitkan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan model diimport sepenuhnya (CBU) dilanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi.

Ia sebahagian dari bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa PLUS) yang diumumkan malam ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengecualian itu akan berkuat kuasa Julai sehingga Disember ini.

"Selain itu, semasa pembentangan pakej PENJANA pada Jun 2020, kerajaan telah mengumumkan pengecualian duti setem Kempen Pemilikan Rumah atau HOC yang akan berakhir pada hari ini, 31 Mei.

"Sukacita diumumkan kerajaan bersetuju melanjutkan pengecualian duti setem HOC tersebut sehingga 31 Disember 2021," katanya dalam  Perutusan Khas Perdana Menteri Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, di sini pada Isnin malam.

Perdana Menteri semasa membentangkan pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Jun tahun lalu mengumumkan pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi kereta penumpang CKD dan 50 peratus untuk model CBU bermula 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

Ia kemudian dilanjutkan sekali lagi sehingga Jun tahun ini.