KUALA LUMPUR: Sudah tiba masa sesebuah sektor dibuka bersama seluruh rantaian bekalannya untuk memastikan ia dapat beroperasi dengan sempurna.

Namun, tegas Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, ia perlu dilaksanakan dengan perancangan rapi, berlandaskan langkah-langkah pencegahan yang telah ditetapkan.

"Pandangan saya agak peribadi di sini. Tiba masanya kita keluar daripada pengkelasan 'essential' (penting) dan 'non-essential' (tidak penting) ini.

"Tetapi, bukan bererti kita keluar tanpa perancangan. Kita mesti buat secara sistematik. Ada syarat-syaratnya.

"Sebagai contoh, kita mungkin boleh memastikan pembukaan itu disandarkan kepada pekerja-pekerja yang telah mempunyai vaksin yang lengkap.

"Jadi, mungkin peratus-peratus tertentu itu boleh digunakan sebagai sandaran untuk membuka operasi perniagaan, sama ada essential atau tidak," katanya dalam program Bual Bicara Agenda AWANI pada Isnin.

Menurut Noor Azlan, walaupun sesebuah sektor diklasifikasikan dalam bidang perlu dibenarkan beroperasi (essential), ia tempang apabila cabang lain berkaitan dengannya masih ditutup.

"Saya dapati dalam perbincangan, kita telah mula memberi ruang mempertimbangkan kaedah yang mungkin lebih luas, maksudnya tidak terus mengklasifikasi sebagai essential atau tidak.

"Umpamanya dalam beberapa perbincangan yang saya hadir, pertimbangan untuk pembukaan secara lebih menyeluruh melibatkan rantaian bekalan, supaya satu sektor itu dapat berfungsi, sudahpun mula mendapat pertimbangan yang agak baik.

"Jadi, bererti, yang terbaik ialah, kita pun sedia maklum, semua dibuka, tetapi kita mungkin boleh bermula dengan melihat kepada rantaian ini," katanya.

Beliau memberi contoh dalam industri pembinaan, langkah pencegahan bukan hanya berkaitan kontraktor yang berada di tapak pembinaan.

"Kita juga bercakap tentang perunding kejuruteraan, pembekalan bahan, arkitek, surveyor dan sebagainya. Jadi, rantaian itu panjang.

"Kalau kita kata boleh buka tapak pembinaan, tetapi bekalan pasir dan simen tak boleh sampai, atau perunding kejuruteraan tak boleh buka pejabat, maka hasrat kita untuk membuka sektor pembinaan ini tak boleh tercapai," kata Noor Azlan.

Oleh itu, katanya, penting untuk melihat kepada situasi lebih menyeluruh, bukan sahaja dalam sektor pembinaan, malah dalam sektor pembuatan juga. 

Sektor perlu dibuka bersama seluruh rantaian bekalannya dengan sistematik - Dr. Noor Azlan