KUALA LUMPUR: Pembukaan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) seperti yang diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024 akan memacu ekonomi di utara negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana kawasan berkenaan yang bersempadan dengan Pulau Pinang dan Kedah akan diberikan tumpuan kepada pembangunan industri hijau dan teknologi bernilai tinggi.

“Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024 umumkan Perak akan dapat satu projek mega. Kita ada permintaan daripada pelabur-pelabur di Pulau Pinang.

“Syarikat elektrik dan elektronik (E&E) yang mahu besarkan kilang mahu berbuat demikian di Perak. Kita lihat tempat yang paling hampir dengan Pulau Pinang ialah Kerian. Kerian juga dekat dengan Kulim Hi-Tech Park.

“Akhirnya, selepas perbincangan, Perdana Menteri berbisik dengan saya untuk pembukaan kawasan perindustrian berteknologi tinggi yang dinamakan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Menurut Saarani, pembangunan KIGIP ini dijangka dapat dibangunkan dengan kadar yang pantas, memandangkan ia dipantau rapat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.

KIGIP juga, katanya, menjadi pemangkin kepada peralihan tenaga boleh baharu sepenuhnya oleh industri-industri yang bakal dibangunkan di taman perindustrian ini.

Inisiatif baru ini signifikan dalam membina masa depan anak muda dengan menyediakan peluang pekerjaan yang berkualiti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu juga berkata inisiatif berkenaan juga dilihat menjadi pemangkin untuk mempercepatkan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di kawasan utara Perak - berfungsi untuk menyalurkan bekalan air yang mencukupi bagi industri dan pertanian.


Agenda AWANI: Perak Sejahtera 2030: ‘Cipta kroje untuk kome’