Wan Ken Fei, 28, didakwa menyebabkan cedera parah ke atas Muhammad Aidiel Zulhilmi Mohammad Yusri, 24, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sebagai senjata, yang boleh mendatangkan kematian di sebuah unit kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) di Pekan Kepong, Sentul di sini pada 5.30 petang, 4 Sept lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga didakwa memiliki pisau pemotong dengan anggaran panjang 32 sentimeter (cm) itu tanpa kebenaran sah di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Peguam Mohamad Zaidi Othman yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah menggunakan budi bicara bagi membenarkan jaminan, atas alasan anak guamnya menjaga ibu bapa yang sakit.
Hakim Dr Azrol Abdullah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 11 Okt ini untuk sebutan kes.
Pada 5 Sept, Bernama melaporkan seorang lelaki menerima 35 jahitan di kepala dan tangan sebelah kiri akibat dipukul dan ditetak dalam satu perselisihan faham di PPR Pekan Kepong.
Sebelum ini tular beberapa klip video memaparkan pergelutan dan pergaduhan melibatkan dua individu terbabit sambil dileraikan oleh orang awam dipercayai berhubung isu parkir berlapis.
-- BERNAMA