Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memastikan pembekal dan pengusaha tempatan diberi keutamaan dari segi pembekalan barangan sepanjang Ramadan ini.

Jaminan itu diberikan Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bagi memastikan pengeluaran bekalan dalam negara yang sedang meningkat ketika ini tidak terjejas akibat pengimportan.

Namun begitu, jelasnya kementerian hanya akan mengimport barangan tersebut mengikut keperluan.

"Kita membenarkan barangan import tetapi kita mesti ingat, dasar kita tidak mahu import begitu banyak sehingga menjejaskan pengeluaran tempatan.

"Kita juga kena jaga kepentingan petani-petani dan pengusaha tempatan kita," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Insentif Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Program Projek Permulaan (EPP) 11 kawasan Seberang Perak di Bukit Chawi di sini pada Khamis.

-- BERNAMA