Antashah berkata, dia dibenarkan keluar daripada Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Singapura (HUS) pada hari keempat selepas pembedahan.
"Arshad sendiri juga sudah tidak memerlukan tiub pernafasan. Dia sudah sedar dan boleh bernafas sendiri.
"Bagaimapun tekanan darahnya masih belum stabil kerana ubat dan steroid yang diberi," katanya ketika menghubungi Astro AWANI, di sini hari ini.
Arshad sebelum dan sehari selepas pembedahan pemindahan hati di HUS - Sumber Foto Antashah
Kata Antashah, paling merisaukannya kini, hati lama Arshad sudah terlalu terus dengan nanah dan jangkitan.
"Kini badannya sedang melawan bakteria berkenaan dan doktor juga memberi antibiotik paling tinggi kepadanya.
"Setakat ini kejayaan pembedahan lancar dan Arshad dalam pengawasan rapi," katanya.
Arshad menjalani pembedahan pemindahan hati pada 28 Oktober selepas selama ini menderita penyakit hati.
Antashah sebelum ini memerlukan lebih RM500,000 untuk kos pembedahan Arshad dan mengambil inisiatif sendiri dengan mewujudkan satu kumpulan khas di Facebook yang diberi nama ‘Donate and Save Arshad Imanshah’.
Hari kedua dan ketiga Arshad selepas pembedahan pemindahan hati di HUS - Sumber Foto Antashah
Katanya, tempoh sekarang merupakan paling penting untuk melihat tindak balas pembedahan kepada Arshad.
"Banyak ubat dan steroid yang perlu diambil sekarang. Pada satu minggu sehingga 10 hari ini merupakan saat paling genting.
"Apa sahaja boleh berlaku, pendarahan, kebocoran atau paling teruk penolakan sepenuhnya kepada hati baru Arshad.
"Sehingga kini, Arshad sudah diberi ubat anti penolakan dan dosnya akan dilaraskan dari masa ke masa. Ubat ini akan menjadi ubat untuk sepanjang hidup Arshad," jelasnya.
Antashah yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam memberitahu, harapannya kini tidak ada komplikasi lain kepada anaknya.
"Semoga tidak ada apa-apa berlaku. Semoga Arshad sudah boleh makan dan dipindahkan ke wad biasa minggu hadapan.
"Harap tidak ada pembedahan kedua untuk Arshad, ada banyak cecair keluar dari tempat pembedahannya.
"Bacaan bilirubin Arshad sebelum ini yang melebihi 400 sekarang sudah turun kepada 111. Ujian darah dibuat setiap 12 jam," jelasnya.
Antashah selepas sehari menjalani pembedahan pemindahan hati di HUS - Sumber Foto Antashah
Dalam pada itu, ketika ditanya keadaan semasa Antashah, ini katanya: "Alhamdulillah, saya sendiri sudah semakin baik walau sebelum dibenarkan keluar ICU, beberapa elektron badan saya didapati rendah namun doktor sudah memberi drip potosium dan menasihati untuk memakan pisang.
"Saya sendiri perlu berehat dan berjalan perlahan-lahan sebagai langkah segera sembuh."
Maklumat terkini mengenai Arshad juga boleh diperolehi melalui; https://www.facebook.com/Arshadimanshah, #arshadimanshah, #donateRM1forbabyarshad, #donatemoreRM1forbabyarshad dan #donateandsavebabyarshad.