Keadaan kanak-kanak dua tahun yang menghidap penyakit Atresia Biliari (hati), Arshad Imanshah yang menjalani pemindahan hati 28 Oktober tahun lalu kini perlu melakukan prosedur itu semula secepat mungkin demi mengembalikan keceriaan seperti kanak-kanak biasa.

Bapanya, Antashah Mohd Nor berkata, keadaan terkini selepas pemindahan hati tahun lepas dilihat kurang memuaskan dan penurunan tahap kesihatan Arshad semakin membimbangkan.

"Arshad perlu membuat pemindahan hati sekali lagi, kalau boleh ia dilakukan secepat mungkin dan syukur doktor mengesahkan hati ibunya boleh dijadikan sebagai penderma.

"Situasi kini menjadi seperti asal, seperti mana sebelum pembedahan pertama Arshad dahulu. Keputusan harus dibuat segera sebelum segalanya terlambat," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.


Keadaan terkini Arshad. Dia perlu melakukan pembedahan pemindahan hati kali kedua dan kali ini ibunya akan menjadi penderma - Sumber gambar Antashah

Pada Januari, Arshad yang menjalani pembedahan hati di Hospital Universiti Singapura (HUS) Oktober tahun lalu dibenarkan keluar hospital. Arshad sebelum ini dilaporkan stabil walaupun denyutan jantung dan tekanan darahnya masih belum di peringkat memuaskan.

BACA: Permulaan baru buat Arshad, kini dibenarkan keluar hospital - Antashah

Bagaimanapun ia adalah tanda-tanda kesembuhan Arshad sendiri dan harapan kini terletak kepada semangat Arshad sendiri untuk keluar dari tahap 'kritikal'.

BACA: Arshad cekal dengan hanya 10 peratus hatinya berfungsi - Antashah

Jelas Antashah yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, dia sentiasa berharap doa dan keputusan terbaik untuk pembedahan kali kedua yang diharap dapat dilakukan dalam kadar segera.

BACA: Sel hati tidak berfungsi, Arshad bertarung nyawa jalani pembedahan keempat

"Sementara kesihatan Arshad kini sesuai dan 'fit' untuk pembedahan, saya berharap keceriaan Arshad dan harapannya untuk membesar sebagai kanak-kanak lain tercapai.

"Walau saya sedar pembedahan kedua itu memerlukan kos besar, saya berjanji akan terus berusaha untuk mencari dana dengan pelbagai cara demi melihat Arshad kembali sihat," katanya.

BACA: Hati ini untuk masa depan Arshad - Antashah

Arshad menjalani pembedahan pemindahan hati pada 28 Oktober namun terpaksa menjalani tiga pembedahan susulan selepas mengalami kesukaran bernafas pada 5 November lepas.

Sejak Julai tahun lepas, Astro AWANI menyiarkan kisah Arshad yang memerlukan sekurang-kurangnya RM500,000 untuk pembedahan pemindahan hati.


Keadaan terkini Arshad. Dia perlu melakukan pembedahan pemindahan hati kali kedua dan kali ini ibunya akan menjadi penderma - Sumber gambar Antashah

Kos itu tidak termasuk rawatan susulan dan ubat-ubatan yang terpaksa ditanggung selepas pembedahan.

"Kelmarin Arshad di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana perutnya yang membesar dan bacaan albuminnya yang rendah iaitu 20. Doakan Arshad kembali sihat," ujarnya.

Selain https://www.facebook.com/Arshadimanshah, maklumat mengenai Arshad juga boleh diperoleh melalui ‪#‎donateandsavearshadimanshah‬ ‪#‎donaterm1forbabyarshad‬ #‎2ndLiverRetransplant‬ ‪#‎harapanbaru‬.

Orang ramai juga boleh terus menghulurkan bantuan kepada Arshad dengan menggunakan akaun POSB Antashah di Singapura yang bernombor 406184617 atau melalui akaun Maybank Antashah yang bernombor 5628 4350 6388.