MELAKA: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri Serta Pengauditan PematuhanJabatan/Agensi Negeri Melaka 2022 mendapati Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Melaka (JPVNM) telah menerima bekalan perubatan vaksin dan program peningkatan genetik tanpa semakan kuantiti, kualiti dan spesifikasi ubat.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan hari ini, semakan Audit mendapati penerimaan bekalan stok ubat-ubatan itu melibatkan 108 jenis stok iaitu RM195,883 bagi Kawalan Penyakit dan RM5,902 bagi Program Peningkatan Genetik Lembu Pedaging dengan jumlah keseluruhan RM201,785.

"Bayaran bagi keseluruhan bekalan ini telah dibuat antara Julai hingga September 2022 dengan pengesahan penerimaan dibuat oleh Pegawai Penerima berdasarkan kepada Pesanan Kerajaan (Perakuan Mengenai Mutu) yang ditandatangani oleh Penolong Pegawai Veterinar Gred G36 dan G32.

"Semakan Audit juga mendapati terdapat kelemahan dalam perakuan pembayaran bagi bekalan stok ubat di JPVNM berjumlah RM201,785 dengan perakuan pembayaran telah dibuat tanpa semakan kuantiti, kualiti dan spesifikasi ubat," menurut laporan itu.

Laporan tersebut turut mendedahkan bahawa lawatan ke stor Ibu Pejabat JPVNM pada 23 Nov 2022 telah mendapati stok barangan yang diterima antara Julai hingga September 2022 masih berada dalam bungkusan/ kotak asal dan tidak diperiksa dari segi kuantiti yang diterima, kerosakan dan tempoh luput.

"Kotak atau bungkusan asal ubat masih belum dibuka sejak diterima oleh jabatan semasa pengauditan dijalankan dan berdasarkan label yang tertera pada bahagian luar kotak, stok yang diterima masih dalam tempoh usia guna dan akan luput antara Julai 2024 hingga September 2025. Bagaimanapun bilangan unit yang diterima tidak dapat disahkan kerana tiada semakan dilakukan jabatan.

"Perkara ini berlaku disebabkan kekangan tugas oleh Pegawai Stok yang pada waktu sama bertanggungjawab sebagai Penolong Pegawai Veterinar jabatan," katanya.

Menurut laporan tersebut, pembayaran bekalan stok ubat yang dibuat secara tidak teratur boleh memberi kesan serta kerugian kepada jabatan seperti kuantiti stok diterima tidak mencukupi, rosak, luput tarikh atau tidak menepati spesifikasi ditetapkan.

"Untuk itu, Syor Audit adalah memastikan urusan pembayaran diurus dengan teratur, semakan, kiraan terhadap bekalan yang diterima perlulah dilaksanakan sebelum sebarang perakuan penerimaan dibuat oleh Pegawai Penerima," katanya.

-- BERNAMA