PADA awal Oktober 2020, Kementerian Pengangkutan Malaysia melalui agensi penguatkuasaannya iaitu Jabatan Laut Malaysia telah mengeluarkan Notis Perkapalan Malaysia (MSN) 19/2020.

MSN 19/2020 menggariskan larangan kepada kapal atau bot berbendera asing beroperasi atau menjalankan perkhidmatan marin di dalam semua pelabuhan di Malaysia.

Notis yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2021 memberi khabar baik kepada komuniti perkapalan tempatan.

Ini berikutan hanya kapal yang berdaftar di bawah bendera Malaysia sahaja yang dibenarkan untuk memberi perkhidmatan marin seperti pembekalan bahan bakar, air mentah dan bahan keperluan serta perkhidmatan kapal tunda di dalam semua pelabuhan di perairan Malaysia.

Perkara ini umpama memberi nafas baru kepada semua pihak terutamanya syarikat perkapalan tempatan yang menyediakan perkhidmatan marin.

Pelaksanaan larangan ini dijangka dapat meningkatkan peluang sektor perkapalan yang telah terkesan dengan pandemik Covid-19 untuk bangkit semula.

Notis ini juga menyatakan bahawa keanggotaan bagi setiap kapal adalah diwajibkan warganegara Malaysia. Justeru, bagi kapal yang masih dianggotai oleh pelaut warganegara asing, pemilik kapal perlu memastikan capaian 100 peratus keanggotaan dari warganegara Malaysia mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan.

Melalui pemerkasaan tenaga kerja tempatan ini, ia sedikit sebanyak dapat mengembalikan hak pelaut tempatan yang selama ini dinafikan oleh sesetengah syarikat perkapalan tempatan.

Walaupun syarat yang ditetapkan dalam Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) memerlukan lebih 75 peratus keanggotaan daripada tenaga kerja tempatan, namun ada sesetengah syarikat perkapalan tempatan lebih mengutamakan warga asing berbanding pekerja tempatan.

Walaubagaimanapun, arahan pembatalan MSN 19/2020 yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia melalui notis MSN 02/2021 pada 9 Februari lepas ternyata telah memberi kejutan dan mengundang kerisauan banyak pihak terutamanya komuniti perkapalan tempatan.

Hal ini ternyata memberi tekanan yang besar kepada syarikat perkapalan dan pelaut tempatan yang kehilangan keistimewaan di tanah air sendiri berikutan hak sama rata diberikan buat pekerja asing dan tempatan.

Sehubungan itu, Persatuan Pusat-pusat Latihan dan Pendidikan Maritim Malaysia (MyMET) melalui Presidennya, Kapt Kenneth Khoo telah memohon pihak Kerajaan Malaysia untuk menimbang semula perlaksanaan MSN 19/2020.

Hal ini adalah kerana perlaksanaan MSN 19/2020 diyakini dapat membela nasib pelaut yang masih menganggur serta membuka peluang pekerjaan kepada pelatih yang sedang mengikuti latihan.

Justeru, pihak kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia perlu memperhalusi kembali tindakan pembatalan MSN 19/2020 ini.

Pelaksanaan semula wajar dilakukan melalui pengemaskinian, tambahnilai atau pindaan garis panduan yang sedia selari dengan perundangan yang termaktub dalam Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Usaha penambahbaikan perlu diambil bagi menggalakkan penyertaan syarikat perkapalan tempatan sejajar dengan hasrat negara untuk mengoptimumkan kapasiti dalam perkhidmatan marin.

Keperluan untuk memaksimumkan penggunaan sumber manusia yang sedia serta juga penting dalam meningkatkan pertumbuhan industri maritim negara.

Selain itu juga, peminimuman pengoperasian kapal asing di perairan Malaysia juga diyakini dapat memelihara keselamatan dan keamanan negara demi kesejahteraan rakyat.

Justeru, semua pihak berkepentingan perlu bekerjasama dan komited dalam usaha memulihkan keadaan semasa demi kebaikan semua pihak.

Sektor perkapalan tempatan harus dirancakkan kembali demi kelestarian dan kestabilan industri maritim negara sejajar dengan Pelan Induk Perkapalan Malaysia.



* Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu

** Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.