PUTRAJAYA: Pembangunan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) kini sudah mencapai 60 peratus dan sedia untuk digunakan pada Januari tahun depan, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau menyifatkan tempoh singkat untuk membangunkan sistem PADU, yang menyediakan gabungan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara ini bermula Jun lepas, sebagai satu cabaran besar kepada pihaknya, namun dapat dilaksanakan hasil kerjasama lebih 270 agensi kerajaan dan badan berkanun yang terlibat.

"Saya boleh katakan ia sebenarnya mencabar, tetapi dalam tiga bulan lagi, kita akan dapat menyediakannya," katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi libat urus Pembangunan PADU Kementerian Ekonomi bersama Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah kementerian dan agensi di sini hari ini.

Rafizi berkata sistem PADU akan bertindak sebagai nukleas kepada rancangan kerajaan untuk beralih menjadikan kerajaan berteknologi termaju.

Dalam perkembangan lain, Rafizi berkata kertas dasar bagi mengurangkan permit diluluskan (AP) dan import permit (IP) sudah siap dan akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada awal Oktober.

Setakat ini, katanya kementerian sedang meneliti semula keutamaan dalam kertas dasar itu sebelum dibentangkan dalam mesyuarat MTEN.

"Kita perlu melihat perinciannya sekali lagi kerana hal ini berkaitan dengan keseluruhan diagnosis ekonomi, jadi senarai perkara-perkara yang hendak dibawa ke MTEN makin panjang," katanya.

-- BERNAMA