Cadangan 13 kerusi tambahan bagi kawasan persempadanan Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) adalah berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan dan amalan dalam sistem demokrasi negara.

Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata perlembagaan memperuntukkan bahawa proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu boleh dilaksanakan setiap lapan tahun.

Justeru, pihak pembangkang perlu memahami peruntukan dalam perlembagaan berkaitan penambahan kerusi DUN serta percaya terhadap sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Abdul Rahman, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin baru-baru ini kononnya penambahan kerusi tersebut membuka peluang kepada warga asing menjadi pengundi hantu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Khamis lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyenaraikan cadangan pengagihan kerusi-kerusi baharu itu yang boleh disemak sehingga 14 Okt ini di pejabat pos dan pejabat daerah.

Kerusi berkenaan ialah N.02 Bengkoka, N.06 Mangaris, N.08 Pintasan, N.13 Pantai Dalit, N.17 Darau, N.24 Tanjung Dumpil, N.27 Dambai, N.44 Tulid, N.47 Telupid, N.51 Sungai Manila, N.58 Lamag, N.61 Segama dan N.70 Kukusan.

Pada Ogos lepas, sidang DUN Sabah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah untuk meminda Perkara 14 Fasal (2) Perlembagaan Negeri Sabah bagi menambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada 73, berbanding 60 ketika ini.