KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahidan Kassim (PN - Arau) menggunakan kesempatan sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa dengan bertanya soalan berkaitan peruntukan kepada pembangkang.

Beliau bangkit bertanyakan soalan itu walaupun ketika sesi tersebut telah tamat namun Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul membenarkannya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bersedia untuk menjawab.

Dalam soalannya, Shahidan berkata, Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) pulang gembira kerana mendapat RM800,000 namun pembangkang tidak mendapat peruntukan sedemikian. 

“Ahli Parlimen PH, balik hari ini gembira sebab dapat peruntukan RM800,000. Kami tak dapat apa.

“Saya minta, Perdana Menteri, tolong beri penjelasan. Kalau tak dapat bagi banyak pun, bagilah sikit sebab kami nak beli kurma untuk bagi kepada rakyat miskin,” katanya.

Perdana Menteri kemudian menegaskan, isu itu  sudah berulang kali dijelaskan iaitu kelulusan sudah ada, hanya menunggu pembangkang datang berunding dengan kerajaan.

“Kelulusan telah diputuskan, cuma TPM mengetuai pasukan dan minta pasukan pembangkang supaya adakan perundingan tentang parameter yang diluluskan. Apa yang masalahnya?

“Kalau mereka tidak bersedia, mereka boleh minta tangguh. Saya dah beritahu kepada Kubang Kerian (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) pun begitu. Saya dah beritahu, sudah ada kelulusan dan biar ada perundingan kerana ini juga dilakukan dulu. Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) pun ada.

"... kita tidak minta pun syarat ketat-ketat…tiada,” katanya.

Tambahnya, beliau akan bersetuju dengan apa saja keputusan perbincangan itu.

“Kalau nak wang, bincang dan luluskanlah. Kalau tak nak tak apa, tunggu dulu,” ujarnya.

“Selamat Hari Raya ya, terima kasih,” jawab Shahidan ringkas selepas mendengar jawapan Ahli Parlimen Tambun itu.