KUALA LUMPUR: Pemimpin pembangkang harus menyambut baik tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir, ini merupakan langkah yang serasi dengan agenda besar negara bukan sahaja untuk memulihkan ekonomi tetapi keluar dari kemelut pandemik COVID-19.

“Jadi ini harus disambut baik oleh pihak pembangkang kerana ini merupakan salah satu desakan dan tuntutan mereka selama ini.

‘’Kalau mereka menolak tawaran ini sudah pasti akan memberi imej (buruk) dan reputasi mereka sebagai pembangkang yang hanya pandai bermain politik. Bagi saya tidak ada sebab untuk mereka menolak," katanya.

Dr Jeniri berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.


Politik | Tolak perbezaan politik, bersama bangkit pulihkan negara

Selain itu ujarnya, dengan penyertaan parti pembangkang menganggotai MPN dan Jawatankuasa khas Menangani COVID-19 itu, ia turut membantu dalam mencari strategi mengurangkan masalah pengangguran, penguncupan pertumbuhan ekonomi dan masalah yang dihadapi rakyat.

‘’Ini langkah tepat dan berani sekali gus membuktikan keterbukaan, dan sifat inklusif serta keterangkuman yang diamalkan Perdana Menteri.

‘’Malah ia juga bertepatan dengan prinsip dan amalan kebersamaan selari titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu negara kita dapat diharmonikan dari segi hubungan politik antara kaum dan parti politik di negara ini,’’ katanya.

BACA: PM tawar pembangkang anggotai MPN, Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19

BACA: PM ajak semua Ahli Parlimen selamatkan Keluarga Malaysia

BACA: Pergolakan politik, pertukaran PM rugikan negara dan rakyat - Ismail Sabri


Tangani COVID-19 | kerajaan tubuhkan MPN dan jawatankuasa khas COVID-19

Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menawarkan ruang kepada pemimpin pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Tawaran itu diumumkan ketika beliau menyampaikan ucapan khas pertamanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Ahad.

Ismail Sabri menjelaskan kerjasama rentas parti yang ditawarkan itu bertujuan untuk mewujudkan kestabilan politik menerusi kebersamaan.