Seorang bekas hakim Mahkamah Rayuan berkata pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dahulu adalah satu kesilapan dan berharap pihak kerajaan tidak mengulanginya dengan memansuhkan Akta Hasutan 1948.

“Saya memandang ke belakang dengan mengatakan pemansuhan ISA itu adalah kesilapan besar,” kata Datuk Mohd Noor Abdullah dalam forum anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa bertajuk ‘Bicara Kemerdekaan: ISA masih relevan atau tidak’.

Kata beliau, silapnya adalah apabila kuasa Menteri untuk membuat arahan penahanan tidak boleh dikaji (review) oleh pihak mahkamah.

“Itu silapnya. Siapa nak mempersoalkan keputusan menteri ini? Orang menghentam ISA ini oleh kerana kuasa menteri itu mutlak dan tidak boleh dikaji oleh mahkamah.

“Penyelesaiannya bukan membubar ISA. Penyelesaiannya adalah beri kuasa kepada mahkamah untuk mengkaji sama ada ujian subjektif yang menteri mengatakan seseorang ini mengancam keselamatan benar atau tidak,” kata beliau di K Club, Taman Melawati, Hulu Klang pada Sabtu.

Mohd Noor turut menyentuh tentang perlunya ada Akta Hasutan kerana Malaysia unik dengan pelbagai kaum, bangsa, dan agama.

Tambah beliau, perbezaannya mengatasi kesamaan dan masyarakat sering bercakap tentang perbezaan dan jarang sekali bercakap tentang persamaan seperti tentang isu hak-hak.

“Yang melaga-lagakan antara kaum, mengapi-apikan masyarakat, kenalah diambil tindakan tegas. Akta Hasutan dikekalkan dan supaya ditambah lagi supaya mantap lagi. Perbuatan menghasut ini kita masukkan sebagai registrable offence (kesalahan berdaftar) di bahawa Prevention of Crime Act (Akta Pencegahan Jenayah).

Mohd Noor turut berkata ada yang mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan dan kemudian meminta maaf dan menarik balik kenyataan itu.

“Jangan berlembut dan ikut demokrasi barat mengenai hak asasi dan hak untuk bercakap. Salah tetap salah, hukum tetap laksanakan,” katanya.

Forum ISA
Ahli Panel Forum Bicara Kemerdekaan 'ISA Masih Relevan Atau Tidak', (dari kiri) moderator forum Kapten (B) Dr Shamsuddin Moner, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali. -fotoBERNAMA

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang turut berucap berkata orang sering mempertikaikan ISA dari sudut tahanan pencegahan sahaja. Namun ISA juga diperlukan untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara.

“Ia juga untuk mencegah jenayah dirancang seperti gangsterisme, penyeludupan orang, kegiatan Ah Long dan sebagainya,” kata beliau.

“Trend sekarang, apabila ISA dan Ordinan Darurat (EO) dimansuhkan, semua pesalah yang kita tahan seperti kumpulan gangster perlu dibebaskan. Apabila ia dimansuhkan, hak kebebasan dan hak orang awam tergugat.

“Saya merasakan setiap undang-undang ada kebaikan cuma jangan salah guna kuasa tersebut.

Tambah beliau, undang-undang di Malaysia diwujudkan kerana mempunyai pelbagai cabaran dan ancaman.

“Ancaman yang masih wujud di negara ini adalah ancaman racial conflict (konflik antara kaum). Kita adalah satu negara yang unik kerana kita berbilang kaum. Jadi perlu kita menjaga keharmonian kita ini dan untuk menjaga keharmonian ini perlu ada undang-undang untuk menyekat mana-mana orang dari membuat satu tindakan yang boleh mengakibatkan keamanan dan keselamatan tergugat," kata Musa.

Beliau juga tidak setuju dengan cadangan pihak kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan.

“Akta Hasutan diwujud untuk menghalang mana-mana orang menghasut supaya mereka tidak menimbulkan keadaan pergaduhan kaum. Akta-akta ini perlu dikekalkan dan ketika melihat ketiadaan akta ini boleh menimbulkan keadaan yang merosakkan keselamatan.

“Kita jaga keselamatan, tidak jaga politik.”

 Perkasa
Kempen kumpul tandatangan menyokong kekalkan Akta Hasutan 1948. -Astro AWANI/Syafique Shuib

Dalam pada itu, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali turut berkata pemansuhan ISA adalah satu tindakan politik dan bukan dibuat atas kepentigan keselamatan negara.

“Selepas Pilihan Raya 2008 dan juga apabila berhadapan dengan Pilihan Raya ke-13 (PRU-13) untuk mendapatkan kembali majoriti dua pertiga yang diharapkan, mereka (Barisan Nasional) mungkin berpendapat tuntutan pemansuhan ISA adalah tuntutan yang popular. Ia adalah satu keputusan popular untuk mendapat sokongan rakyat.

“ISA ini pun tak banyak orang tahu, orang cuma tahu ISA ini adalah tahanan dua tahun tanpa dibicara dan itu zalim. Tetapi ada yang mengambil berat dan tahu semangat ISA ini adalah prevention better than cure (mencegah lebih baik dari mengubati.)

Tambah beliau, undang-undang seperti ISA bukan sahaja untuk menjaga kepentingan kaum-kaum tertentu.

“Yang tidak setuju dengan ISA ini ialah asalnya yang dibawa oleh parti pembangkang dan juga kaum-kaum tertentu yang sekarang ini menyokong pembangkang. Saya nak beritahu ISA ini adalah untuk keselamatan rakyat Malaysia, bukan sahaja orang Melayu," katanya.

Ibrahim Ali turut menyokong usaha agar Akta Hasutan dikekalkan.

“Kita harus berjuang dan tidak boleh berharap dari kerajaan semata-mata. Ini adalah demi kepentingan keselamatan negara,” kata beliau pada forum yang sama.