ROMPIN: Seorang pemandu treler yang merempuh sebuah rumah sehingga mengakibatkan dua beradik maut dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengambil dadah dan memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah.

Muhammad Fadzil Zakaria, 40, dari Taman Bukit Indah, Johor, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Melody Woon Sze Mun.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengambil dadah jenis methamphetamine di bilik Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan pada 4.10 petang, 3 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 39B akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan menjalani perintah pengawasan selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Muhammad Fadzil juga didakwa memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kematian Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, dan adiknya Mohd Waldon Faris, 21, di Kampung Ketapang Hilir pada 4.15 pagi, Sabtu lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan lesen memandunya digantung sehingga selesai prosiding, serta menetapkan 7 Okt bagi sebutan kes pertama manakala 26 Ogos bagi serahan dokumen untuk pertuduhan kedua.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim sementara tertuduh diwakili peguam Ahmad Deniel Roslan.

Dalam kejadian pada 4.15 pagi itu, treler membawa muatan siling kapur dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah rumah sehingga mengakibatkan dua beradik maut.

Ibu bapa mangsa Norrulaini Mohd Hassan, 54, dan Nasruddin Othman, 60, serta rakan Mohd Waldon Faris, Muhammad Gabriel Miqhael Muhammad Faidzal, 19, yang turut berada dalam rumah berkenaan mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Pekan.

-- BERNAMA