PEKAN: Dua beradik maut selepas rumah dialami mereka lima keluarga dirempuh sebuah treler yang dipandu pemandu positif dadah dalam satu kejadian di Kilometer 5 Jalan Pekan/Nenasi/Rompin, di Kampung Ketapang Hilir di sini, awal pagi Sabtu.

Mangsa, Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 33, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adiknya, Mohd Waldon Faris, 25, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, tiga lagi ahli keluarga iatu Norrulaini Mohd Hassan, 54, suaminya, Nasruddin Othman, 64, dan Muhammad Gabriel Miqhael Muhammad Faidzal,19 mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati, treler membawa muatan siling kapur dipandu seorang lelaki dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan telah hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

“Ketika melalui selekoh ke kiri lori dipandu lelaki terbabit hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan.

“Kesan dari rempuhan itu, seorang wanita disahkan meninggal dunia manakala empat lagi penghuni lain telah dibawa ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan.

"Seorang lagi mangsa, Mohd Waldon Faris disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan pada jam 1.30 petang," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu lori yang cuai dan hilang kawalan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

"Pemandu treler berkenaan didapati positif dadah jenis methamphetamine atau amphetamine selepas ujian saringan awal dijalankan oleh pihak Hospital Pekan.

“Pemandu lori yang mengalami cedera ringan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Pekan.

"Penahanan akan dibuat sebaik sahaja selesai rawatan," katanya.

Mohd Zaidi juga memaklumkan kes disiasat dan diklasifikasikan di bawah seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -Sinar Harian