KOTA BHARU: Polis menahan seorang pemandu lori yang positif dadah methamphetamine selepas lelaki itu merempuh tiga motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat Limbat, Kubang Kerian di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata dalam kejadian pada 12.50 tengah hari tadi, lelaki berumur 50 tahun yang memandu lori jenis Nissan dari arah Peringat menghala ke Pasir Tumboh dipercayai telah hilang kawalan sebelum merempuh kenderaan yang terlibat.

Beliau berkata akibat rempuhan itu seorang penunggang motosikal mengalami cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat penunggang motosikal itu telah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.

"Kes kemalangan ini disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta orang ramai yang melihat kejadian ini supaya tampil membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu serta menghubungi pegawai penyiasat trafik Insp Nurul Izzati Mohammad Rosli melalui talian 09-7752315," katanya dalam kenyataan malam ini.

-- BERNAMA