Loh Kian Luck, 41, didakwa menyembunyikan harta curi iaitu sebuah mesin ATM Public Gold milik Syarikat Public Gold yang dilaporkan hilang, di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Bukit Angkat, pada 3 petang, 2 Dis lepas, mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal mencadangkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, namun peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Vinobha Doss mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya yang menghidap penyakit asma perlu menyara dua anak.
Majistret Normaizan Rahim membenarkan Loh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 20 Feb depan untuk serahan dokumen.
Pada 1 Dis, Bernama melaporkan tiga lelaki tempatan termasuk seorang remaja yang dipercayai mencuri mesin ATM emas Public Gold di sebuah pasar raya di Ampang di sini, terpaksa berputih mata selepas mesin itu tidak mempunyai jongkong emas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata mesin itu telah dikosongkan dan kerugian dianggar bernilai RM60,000 melibatkan mesin terbabit.
-- BERNAMA