KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan sindiket penyeludupan karkas babi bernilai RM204,800 selepas menahan seorang pemandu lori di Jalan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di sini hari ini.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan dilakukan anggota Batalion 9 PGA yang menjalankan Op Taring Chiller Kelantan selepas menahan lori dipandu lelaki berusia 62 tahun itu pada 3.15 pagi tadi.

"Hasil pemeriksaan terhadap lori jenis Mitsubishi itu menemukan lebih 5,000 kilogram (kg) karkas babi dipercayai dibawa dari negara jiran tanpa dokumen sah.

"Pemandu terbabit dipercayai menjadi penghantar karkas berkenaan ke pasaran tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemandu itu dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Chepa untuk siasatan di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

Dalam kes lain, Nik Ros Azhan berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dan merampas anak pokok nanas bernilai RM23,000 yang disyaki diseludup masuk dari negara jiran menerusi pangkalan haram di Rantau Panjang, Pasir Mas, pada 6.30 pagi tadi.

Beliau berkata anak pokok itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan telah diserahkan ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA