Peguam Sivahnanthan Ragava mewakili V. Nathan, 37, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama hari ini.
"Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman memberitahu Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali bahawa menurut laporan penilaian psikiatri oleh Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak, tertuduh dalam keadaan mental yang stabil ketika insiden, justeru layak untuk dibicarakan.
"Mahkamah menetapikan 24 Okt untuk sebutan semula kes," kata peguam itu yang dibantu Cyrus Tiu Foo Woei.
Pada April, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani penilaian psikiatri susulan permohonan dibuat Sivahnanthan bahawa tertuduh menunjukkan kesukaran untuk mengikut arahan dan memberikan kerjasama dalam prosiding pertuduhan bunuh yang dihadapinya.
Nathan berdepan pertuduhan membunuh Mawika Lumyai, 32, di sebuah kondominium di Jalan Setia Dagang AH U13/AH, Setia Alam, pada 10.02 pagi, 28 Feb.
Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau sekiranya tidak dihukum mati, dipenjara hingga 40 tahun dan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA