SUNGAI PETANI: Seorang lelaki warga Indonesia direman empat hari bagi membantu siasatan insiden langgar lari membabitkan pegawai Jabatan Imigresen di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pada Ahad.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nor Fazlina Musa ke atas suspek berusia 27 tahun itu bermula hari ini hingga 9 September bagi polis melengkapkan kertas siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata suspek ditahan selepas menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada 6.30 petang Isnin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut Zaidy, suspek mendakwa dia terpaksa melarikan diri kerana tidak memiliki lesen memandu selain takut dipukul orang awam.

Suspek yang panik terus memecut kenderaan dipandunya dan pulang ke rumah di Pokok Sena.

Zaidy berkata, semakan nombor pendaftaran kenderaan mendapati kereta dipandu suspek adalah milik abang iparnya yang berada di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian Ahad lalu, Timbalan Pengarah Imigresen Sungai Bakap, Muhammad Nizam Samsudin, 46, maut akibat parah di kepala selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta sehingga dia terbabas ke lorong kecemasan.

Sementara, Timbalan Pengarah Kanan Imigresen, Zaili Nizam Muhammad, 43, yang tidak sempat mengelak merempuh motosikal Muhammad Nizam menyebabkan dia patah kaki kanan.

Susulan laporan, polis berjaya mengesan sebuah Proton Wira Aeroback dipercayai terlibat dalam kejadian itu melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gurun.