Ringkasan AI
- Pemandu e-hailing, Lim Kim Teng, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghina agama Islam di Mahkamah Majistret Selayang.
- Pertuduhan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.
- Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan kes.
Lim Kim Teng, 70, didakwa membuat penyataan yang melukakan perasaan berkaitan agama orang Islam dan perbuatan itu dilihat di Pejabat Pasti, Gombak, di sini, pada 8 malam, 4 Jun 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Iqbal Azman mencadangkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan jumlah jaminan itu dipersetujui oleh peguam Haijan Omar, yang mewakili tertuduh.
Majistret Chai Guan Hook membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan kes.
Tahun lepas tular di laman sosial video dipercayai dirakam pelancong asing yang memaparkan seorang pemandu e-hailing mengeluarkan kenyataan menghina Islam dalam perbualan mereka ketika pelancong terbabit menggunakan perkhidmatannya.
-- BERNAMA
