IPOH: Seorang pemandu bas sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid di atas motosikal, dua tahun lalu.

Tertuduh, K. Ravichandran, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berumur 10 tahun di atas motosikal.

Kesalahan didakwa dilakukan ketika dalam perjalanan dari sekolah ke rumah mangsa di Taman Pinji Ria, Ipoh, antara jam 1 hingga 1.25 petang, 6 Ogos 2019.

Amang Seksual Murid | Pemandu bas mengaku tidak bersalah


Dia didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis antara satu hingga tiga tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh diwakili Peguam Datin K. Shamini.