Seorang pemandu bas ekspres maut manakala 10 penumpang cedera selepas bas itu melanggar sebuah lori tangki di kilometer 409.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Kuala Kubu Baharu, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.43 pagi itu, bas yang dalam perjalanan dari Kedah menuju ke Shah Alam telah melanggar belakang lori tangki itu yang bergerak perlahan di lorong kiri lebuh raya.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Lim Bak Phai, akibat pelanggaran itu, pemandu bas tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Sementara itu, seorang daripada 30 penumpang bas mengalami cedera parah manakala sembilan lagi dilaporkan cedera ringan.

"Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Lim berkata lori tangki itu membawa susu getah dan pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Namun, pemandu itu ditahan selepas semakan mendapati dia dikehendaki bagi kes pecah amanah dan sedang disiasat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

"Siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.