KUALA LUMPUR: Tindakan seorang pemain bola sepak amatur menunjukkan senjata kerambit semasa perlawanan bola sepak di Pusat Bola Sepak KLFA, minggu lalu, mengundang padah apabila Mahkamah Sesyen di sini menjatuhi lelaki itu hukuman penjara 14 hari, bermula Jumaat.

Peniaga nasi lemak, Muhammad Nur Iman Shafie Mohd Sulin, 22, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim, Norina Zainol Abidin.

Lelaki yang memakai baju T berwarna hitam itu didakwa menunjukkan senjata berbahaya iaitu kerambit dengan gopoh, hingga membahayakan keselamatan diri orang lain, di pusat bola sepak di Desa Melawati pada 12:45 tengah malam, 4 Ogos lalu.

Kesalahan dibuat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua- duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam, Muhammad Syawal Mohd Razak merayu anak guamnya diberi hukuman yang wajar serta adil kerana anak keempat daripada tujuh beradik itu tidak mempunyai pekerjaan tetap, sebaliknya sekadar membantu ibu bapa menjual nasi lemak secara kecil-kecilan.

“Dia yang masih bujang, perlu menjaga ibu bapanya yang mempunyai masalah kesihatan.

“Dia juga mengaku insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa depan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuan Abdul Latif mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya tidak melakukan kesalahan serupa.

“Kes ini mendapat liputan yang meluas, maka hukuman setimpal patut dikenaka bagi memberi mesej jelas kepada masyarakat,” katanya, yang turut hadir bersama seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Joshua Tee.

Pada minggu lalu, pihak polis menahan seorang lelaki, disyaki mengacukan senjata tajam iaitu kerambit dalam pergaduhan semasa perlawanan bola sepak yang mana gambar insiden itu kemudiannya tular di media sosial.

Dalam prosiding sama, dia mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pindaan, bersama empat lagi individu yang telah dituduh, melakukan khianat dengan api di kelab hiburan.

Kesalahan didakwa dilakukan dengan membaling empat botol yang telah dinyalakan dengan api ke arah hadapan kelab tersebut sehingga menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan premis, di Jalan Yap Kwan Seng, di sini pada jam 2.17 pagi, 9 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Nidzuan mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 namun tertuduh yang diwakili peguam, Haziq Aizuddin Subhi merayu kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya perlu membantu ibu bapa.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Norina membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 25 September depan. - Sinar Harian