KUALA TERENGGANU: Tindakan Jepun melepaskan lebih satu juta tan air terawat daripada loji nuklear Fukushima ke dalam laut dikhuatiri menjejaskan khazanah ekosistem marin dunia.

Koordinator projek Ocean Hope, Dr Maizah Abdullah berkata tindakan itu perlu diperhalusi oleh semua pihak kerana kesan tindakan itu hanya dapat dilihat oleh generasi akan datang.

Maizah yang juga merupakan pensyarah di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (INOS UMT) berkata biarpun pelepasan sisa air itu berlaku di Jepun, namun beliau tidak menolak kemungkinan sisa nuklear itu boleh hanyut hingga ke perairan negara.

"Pergerakan aliran arus lautan tiada hadnya. Ia ditambah pula dengan hidupan marin yang sentiasa berhijrah, jadi apa sahaja haiwan yang terjejas ataupun berisiko dengan sisa radioaktif ini sudah pasti boleh sampai ke perairan kita sekali gus berkemungkinan mencemari rantaian makanan hidupan laut dan menjejaskan kesihatan manusia," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau menambah, semua pihak harus memainkan peranan penting dalam memastikan kelestarian lautan terus terjamin.

"Ruang perbincangan wajar dibuka dengan lebih menyeluruh dan bersifat inklusif yang bukan hanya melibatkan saintis atau ahli akademik, bahkan masyarakat awam juga perlu dilibatkan untuk melihat risiko dan kesan aktiviti ini khususnya kepada negara serantau.

"Lautan tidak harus dilihat sebagai laman belakang yang menjadi tempat aliran sisa kita semata, tetapi lautan adalah masa depan kita semua," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata meskipun teknologi nuklear ini bukanlah 100 peratus mendatangkan kesan buruk, sebagai contoh aplikasi isotop stabil jika digunakan dengan betul mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan hidupan marin.

"Tetapi dalam isu melibatkan air terawat daripada loji nuklear Fukushima ini, jika benar ia selamat, kerajaan Jepun boleh menebus guna air terawat ini bagi tujuan penggunaan domestik, perindustrian dan sebagainya.

"Langkah ini sangat perlu bagi mengubah persepsi masyarakat dunia dengan membuktikan tiada kesan langsung kepada kesihatan manusia dan rantaian makanan di dalam laut," katanya.

Meskipun menerima pelbagai tekanan pada awal bulan ini, Jepun tetap meneruskan rancangannya untuk menyalurkan air sisa radioaktif terawat ke laut melalui terowong saliran Loji Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi, iaitu stesen janakuasa tenaga nuklear yang terjejas akibat gempa bumi Tohoku dan tsunami yang menyusul dalam kejadian pada 11 Mac 2011.

Jepun melancarkan rancangan pelepasan air pada April 2021, mencetuskan kritikan besar-besaran daripada China, Korea Selatan, Korea Utara, Taiwan dan badan antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

-- BERNAMA