KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi di bandar raya Kuala Lumpur bukan sekadar bergantung kepada sektor kewangan sebaliknya bidang penting lain antaranya pembuatan, teknologi dan perkhidmatan turut berperanan sebagai penyumbang.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Nur Hafizah Mohammad Ismail berkata kepelbagaian sektor itu memberi nilai tambah kepada ibu negara Malaysia itu untuk memanfaatkan peluang ekonomi yang ada dalam setiap sektor berkenaan.

"Melalui rangsangan inovasi, keusahawanan dan daya saing, ia (kepelbagaian sektor itu) dapat mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi bandar raya itu berbanding bandar lain yang hanya bertumpu kepada dua atau tiga sektor sahaja. Jadi, Kuala Lumpur mempunyai kekuatan di situ," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV dengan topik "Kuala Lumpur Bandar Kedua Terhebat Asia Tenggara" di sini pada Selasa.

Terdahulu, Indeks Bandar Global Oxford Economics 2024 menyenaraikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya kedua terhebat di rantau Asia Tenggara selepas Singapura sekali gus memperlihatkan ibu negara Malaysia itu berada pada kedudukan 135 daripada 1,000 bandar raya di dunia tersenarai di dalam indeks itu.

Indeks berkenaan mengandungi lima kategori iaitu ekonomi, modal insan, kualiti kehidupan, alam sekitar dan tadbir urus yang digabungkan untuk mencipta skor keseluruhan bagi setiap bandar di 163 negara yang terlibat.

Selain Kuala Lumpur, bandar raya George Town, Pulau Pinang berada pada kedudukan ke-351 dalam indeks berkenaan diikuti Melaka di tangga ke-359 manakala Johor Bahru pula di tempat ke-376.

Nur Hafizah berkata ketiga-tiga bandar berkenaan juga berpotensi memperbaiki kedudukan dalam indeks berkenaan, namun perlu melalui penambahbaikan terhadap beberapa aspek seperti pembangunan infrastruktur dan peningkatan kualiti hidup.

"... bandar itu boleh melabur dalam memodenkan pembangunan pengangkutan awam, meluaskan infrastruktur digital (supaya) menjadikannya lebih menarik bagi sektor perniagaan dan pelancongan.

"Bagi aspek peningkatan kualiti hidup ... boleh lebih memfokuskan kepada kelestarian alam sekitar, meningkatkan lebih banyak kemudahan kesihatan, mempromosikan aktiviti kebudayaan dan rekreasi (serta) memastikan lebih banyak skim perumahan mampu milik," katanya.

Justeru, beliau berkata indeks berkenaan berfungsi sebagai satu indikator penting kepada semua pembuat dasar, perancang bandar, pelabur dan pihak berkepentingan lain untuk membuat dasar kerajaan yang lebih baik, sekali gus menggalakkan pembangunan ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup di bandar-bandar utama di Malaysia.

-- BERNAMA