NIBONG TEBAL: Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melaksanakan pelbagai usaha dan perancangan bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata langkah-langkah mitigasi yang telah dilaksana serta akan dijalankan mampu menyelesaikan isu itu secara jangka pendek dan panjang dalam usaha memberikan perkhidmatan kepada penduduk terjejas.

Beliau berkata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah melaksanakan empat langkah mitigasi di SPS antaranya meningkatkan kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor daripada 10 juta liter sehari (JLH) kepada 21 JLH dan beberapa lokasi seperti Taman Widuri disediakan pam tangki.

"Kita kena akui kawasan SPS juga sedang menikmati pembangunan agak baik, sebab itu keupayaan untuk tingkatkan kapasiti air perlu diutamakan dan kita berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang umumkan telah ada persetujuan dengan Perak untuk bekalkan air kepada Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas melawat LRA Bukit Panchor pada Selasa.

Akmal Nasrullah berkata pihaknya juga sedang menjalankan kajian menilai kemampuan Sungai Kerian sebagai kawasan pembangunan bagi LRA Sungai Kerian sebagai perancangan jangka panjang bagi mengatasi isu gangguan bekalan air.

Beliau berkata kajian itu akan mengambil masa enam hingga 12 bulan dan projek tersebut dijangka siap pada 2028 namun ia bergantung kepada proses pengambilan tanah di kawasan terbabit.

"Pada penghujung tahun lepas telah dibangkitkan kemampuan Sungai Kerian sebagai punca air bagi LRA yang baharu untuk SPS, jadi kita jalankan kajian dan ia perlukan tanah ...di peringkat kerajaan negeri dan PBAPP, mereka akan mengemukakan cadangan dan kita serta SPAN akan teliti kebolehlaksanaannya," kata beliau.

Akmal Nasrullah juga berkata berdasarkan maklumat PBAPP, sebanyak 1,500 akaun pengguna di daerah SPS mengalami masalah gangguan bekalan air secara on off terutama ketika waktu puncak.

"PBAPP perlu lebih proaktif mencari jalan untuk tingkatkan kapasiti di sini, kita tahu mereka telah jalankan mitigasi dan mengorak langkah secara keseluruhan namun pengeluaran itu tidak boleh berdasarkan angka yang statik kerana pembangunan di sini juga semakin meningkat, jadi ia perlu seiring dengan permintaan," katanya.

-- BERNAMA