GEORGE TOWN: Pelanggan sebuah restoran nasi kandar popular di Pulau Pinang yang memuat naik resit harga dua ekor sotong RM100 di media sosial memohon maaf kepada pemilik restoran berkenaan.

Pengarah Restoran Nasi Kandar Hameediyah, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim, mendakwa pelanggan berkenaan memohon maaf kepada pihaknya menerusi mesej di aplikasi WhatsApp pada Rabu. 

Menurut Muhammad Riyaaz, pelanggan wanita berkenaan mengakui memuat naik resit tersebut di media sosial, namun bukan bertujuan mempertikaikan harga hidangan sotong goreng berkenaan.

Ini kerana, menurut wanita itu, dia mengakui tahu akan harga hidangan sotong goreng ‘apollo' tersebut.

"Pelanggan wanita berkenaan menjelaskan harga sotong berkenaan memang harga yang sepatutnya kerana bersaiz besar dan harga berkenaan tidak mahal," dakwa Muhammad Riyaaz.

BACA: Selepas 'siakap' Langkawi, 'sotong' di Pulau Pinang pula didakwa 'harga kayangan'

Bagaimanapun, dakwanya, tindakan wanita itu memuat naik resit berkenaan telah disalah sangka oleh pihak lain yang kemudiannya  menyunting gambar tersebut dengan kapsyen seolah-olah menggambarkan harga hidangan berkenaan terlalu mahal.

Justeru bagi memastikan orang ramai mendapat penjelasan sebenar berhubung isu berkenaan, Muhammad Riyaaz mendakwa, pelanggan wanita itu meminta dia memuat naik permohonan maaf daripada pihaknya  di media sosial agar orang ramai tidak lagi tersalah sangka.



Sementara itu, Muhammad Riyaaz berkata, setakat ini pihaknya belum bercadang untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Namun, katanya, perkara tersebut sedikit sebanyak telah memberi reputasi yang buruk terhadap restoran mereka.

 
Sumber Facebook HAMEEDIYAHRESTAURANTSDNBHD1025046U

"Benda (isu) ini sudah viral, mahu buat macam mana lagi.

"Sedikit sebanyak isu ini akan memberi reputasi buruk kepada restoran kami, saya sudah terima permohonan maaf pelanggan terbabit melalui aplikasi WhatsApp malam tadi (Rabu)," katanya.