Beliau berkata pelan hala tuju itu akan bertindak sebagai garis panduan dasar dan langkah ke hadapan ke arah penyahkarbonan melibatkan syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang, serta penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF).
"Ia akan merangkumi beberapa sektor dan elemen ke arah penyahkarbonan," katanya semasa perhimpunan bulan Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini semalam.
Loke berkata Kabinet telah mengesahkan dan meluluskan pelan hala tuju itu untuk diterbitkan dan dilaksanakan.
Beliau berkata pelan hala tuju itu dirangka berdasarkan input daripada banyak syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan dalam penerbangan.
Beliau berkata pelan hala tuju itu komited terhadap Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon untuk Penerbangan Antarabangsa (CORSIA) oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
SAF merupakan bahan api cecair digunakan dalam penerbangan komersial yang dapat mengurangkan pelepasan CO2 hingga 80 peratus.
Loke berkata pelan tindakan itu juga sejajar dengan dasar pembangunan mampan seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), Dasar Tenaga Negara 2040, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan sasaran pelepasan karbon sifar bersih (net-zero) menjelang 2050.
Beliau berkata perancangan ekosistem pengangkutan juga memberi penekanan terhadap aspek alam sekitar yang lebih bersih dan rendah karbon.
"Pelbagai inisiatif mobiliti rendah karbon telah dan sedang dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai pihak antaranya meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) melalui penyediaan ekosistem EV yang lebih baik, menetapkan sasaran penggunaan bahan api mampan seperti biodiesel dan SAF serta meningkatkan perkongsian mod pengangkutan awam terutama di bandar besar," katanya.
Dalam pada itu, Loke berkata MOT juga berhasrat untuk mengemukakan beberapa cadangan inisiatif utama yang baharu kepada Kementerian Kewangan bagi pertimbangan dimasukkan dalam Belanjawan 2025.
Beliau berkata inisiatif tersebut dijangka dapat menstruktur semula ekonomi melalui pemerkasaan modal insan dalam sektor pengangkutan awam yang secara langsung akan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Beliau berkata antara inisiatif dirancang adalah pembangunan berorientasikan transit (TOD) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Loke berkata MOT melalui agensi pengangkutan rel sedang membangunkan 48,000 unit rumah dan bangunan komersial di seluruh negara.
"Pembangunan sekitar hab pengangkutan awam seperti perumahan, sekolah, tempat bekerja serta tempat mendapatkan keperluan harian akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam kerana destinasi yang dituju berdekatan.
"Antara impak TOD yang akan dirasai adalah kesejahteraan hidup melalui pengurangan tempoh masa bergerak serta pengurangan kesesakan lalu lintas di jalan raya," katanya.
-- BERNAMA