MARANG:Majlis kenduri kahwin seorang gadis tetap diteruskan meskipun akad nikah tidak dapat dilangsungkan selepas pasangannya dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Kelulut, di sini.

Fatin Nabilah Huda Ismail, 27, bersama tunangnya, Naim Hariri Kamaruddin, 31, sepatutnya disatukan pada pukul 10 pagi tadi di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payung, Marang.

Bagaimanapun, impian raja sehari itu tidak kesampaian selepas pengantin lelaki yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur dilaporkan terlibat dalam kejadian lemas pada petang Jumaat.

Bapa pengantin perempuan, Ismail Awang berkata, majlis yang sudah dirancang itu diteruskan juga bagi meraikan tetamu kerana ada dalam kalangan mereka yang datang dari jauh untuk meraikan pengantin.

Menurut Ismail, sebagai tuan rumah, dia juga sudah membuat persiapan seperti tempahan makanan, namun tidak menyangka insiden seperti ini berlaku.

"Kita teruskan (majlis) sebab sudah jemput (tetamu)... katering pun kita dah tempah, orang sudah datang kesian pulak, kita buat kenduri kesyukuran. Solat hajat kita buat malam tadi di masjid," katanya.

Adik bakal pengantin perempuan, Farah Dinie Ismail menunjukkan kad undangan majlis perkahwinan kakaknya, Fatin Nabilah Huda Ismail dengan Naim Hariri Kamaruddin. – Gambar Astro AWANI


BACA: Bakal pengantin dikhuatiri lemas ditarik ombak Pantai Kelulut



 
Tinjauan Astro AWANI di kediaman Ismail mendapati pelamin yang siap dipasang hanya dilihat sepi tanpa pengantin.

Difahamkan tetamu jemputan mula hadir pada pukul 10 pagi dan ada yang menitiskan air mata serta mengucapkan takziah kepada Ismail atas insiden yang  berlaku.

Selain pelamin, khemah, makanan, cenderahati termasuk buku catatan kehadiran tetamu juga sudah siap tersedia.

Pesara kerajaan itu berkata, anak perempuannya masih terkejut dan trauma dengan insiden tersebut dan berharap bakal menantunya itu dapat ditemui.

Pada Jumaat, dua lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Kelulut dan Pantai Jambu Bongkok, disini.

Dalam kes berasingan itu kedua-dua mangsa dikatakan ditarik ombak ketika sedang mandi.