Seorang pelajar Tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Gurun nyaris buta apabila tertusuk anak panah ketika menjalani latihan memanah untuk kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kedah (MSKK).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang Jumaat ketika mangsa bersama dua rakannya sedang menjalani latihan memanah di kawasan padang sekolah terbabit.

Ketika kejadian, seorang lagi rakan mangsa sedang membuat panahan pemanasan badan di papan sasaran yang berjarak 5 meter, manakala mangsa dan dua rakan lain berlatih memanah di sasaran 70 meter.
Ketika rakan mangsa itu memegang pemanah dia sempat melihat mangsa melintasi di hadapannya bagaimanapun dengan secara tidak sengaja rakan mangsa itu telah terlepas anak panah.

BACA: Tetap bertugas walaupun mata tertusuk anak panah

Anak panah itu kemudiannya terus menuju ke arah kepala dan mengenai pada bahagian mata kiri mangsa sehingga tembus ke telinga.


Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil selepas anak panah terbabit berjaya dikeluarkan.