ALOR SETAR:Dua buah sekolah di negeri Kedah ditutup selama tujuh hari bermula Rabu sehingga 9 November depan ekoran terdapat kes positif COVID-19 dalam kalangan pelajar di sekolah berkenaan membabitkan Kluster Bayan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Hayati Othman menjelaskan, sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman di daerah Kota Setar serta Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok di daerah Kubang Pasu.

Susulan itu, beliau memaklumkan, kesemua kontak rapat di kedua-dua sekolah berkenaan telah menjalani saringan COVID-19 bermula Selasa.

Tegasnya, penutupan itu juga bagi memastikan proses sanitasi di keseluruhan bangunan institusi pendidikan yang terlibat selain memberi ruang kepada proses saringan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat dijalankan.

"Saya dapat maklumat daripada Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam Negeri Kedah), Dr Ishak (Hussain), dia kata kelas yang ada close contact (kontak rapat) dengan Kluster Bayan tu disaring semalam dan hari ini. Tentang jumlah (keseluruhan), kena tanya pihak kesihatan,

"Sebab (berlaku kes) ni (adalah) daripada petugas kilang di Bayan (Pulau Pinang), dia bawa balik, kena anak dia, anak dia pergi sekolah, mengakibatkan (seluruh) kelas tu akan dilaksanakan swab test untuk kontak rapat. Kelas lain tak buat (ujian saringan) lagi," ujarnya.

Dr Hayati berkata demikian selepas Mesyuarat Mingguan EXCO Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Dalam perkembangan berasingan, beliau turut menzahirkan kebimbangan apabila kes denggi negeri ini masih serius biarpun tiada kematian dicatatkan pada tahun ini.

Susulan itu, kerajaan negeri Kedah akan menganjurkan kempen kesedaran dalam tempoh terdekat agar penduduk di negeri ini memainkan peranan masing-masing membersihkan kawasan rumah setiap Jumaat termasuk kawasan berhampiran bagi memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk aedes.