KAJANG: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan kes buli di mana-mana institusi pendidikan di bawah kementerian itu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah menyerahkan kes buli yang didakwa berlaku di sebuah sekolah baru-baru ini kepada pihak berkuasa untuk membolehkan siasatan dibuat.

“Anak siapa pun, tak kisah selebriti, anak menteri sekali pun, buli tetap buli dan kita tidak berkompromi.
“Kita telah mengambil tindakan tegas bersama pihak berkuasa malah garis panduan juga telah berkali-kali kita pertegaskan.


“Atas sebab itu, saya mahu seluruh ekosistem persekolahan harus dipastikan selamat dan mana-mana pihak yang sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa, kita serahkan pada mereka untuk melakukan siasatan,” katanya mengulas dakwaan vokalis kumpulan Spider, Rustam Mustafah atau Tam Spider baru-baru ini yang mendedahkan anak lelakinya yang berusia 14 tahun menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama.

Susulan pendedahan Tam, beberapa lagi ibu bapa pelajar di sekolah yang sama turut tampil mendedahkan bahawa anak mereka juga turut menjadi mangsa buli.

Polis telah membuka kertas siasatan membabitkan kes buli berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman berkata, setakat ini sebanyak lima laporan polis sudah diterima pihaknya berkaitan isu itu.

Beliau ditemui pada sidang media selepas menghadiri program Tekad Reformasi Pendidikan, pada Isnin.

Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam perkembangan isu lain, Fadhlina memaklumkan, keputusan untuk penempatan semula 134 guru sekolah Cina di Pasir Gudang, Johor ke sekolah lain telah ditangguhkan buat sementara waktu sehingga semua isu berkait dengan keputusan itu diselesaikan.

Jelasnya, guru-guru akan dipindahkan secara berperingkat sebaik sahaja masalah yang dibangkitkan selesai dan tahun akademik 2024/2025 berakhir.

“Kita melihat ada faktor yang tidak dipertimbang ketika arahan pertukaran itu dikeluarkan, maka kita telah tangguhkan keputusan penukaran itu sehingga proses berkait dengan pembelajaran dan pendidikan anak-anak ini dapat diuruskan.

“Pertukaran itu akan berlaku secara berfasa mulai tahun hadapan dan buat masa sekarang keputusannya ditangguhkan,” katanya.

Minggu lalu, media melaporkan seramai 134 guru di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Pasir Gudang telah diberi arahan penempatan semula.

Ia menimbulkan rungutan terutama dalam kalangan ibu bapa yang mendakwa penempatan semula itu dibuat secara tiba-tiba dan mungkin mengganggu sesi pembelajaran.