IPOH: Seorang pekerja kontrak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur sebanyak tiga kali, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Farriz Izwan, 18, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, lelaki itu didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun di dalam sebuah bilik hotel di Medan Pengkalan Impian, di sini, masing-masing pada jam 12 tengah malam, 1.30 pagi dan 5.30 pagi, 31 Julai lalu.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Amirah Nabihan Shahrir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan laporan perubatan.