SUNGAI PETANI: Seorang pekerja cuci kereta maut manakala seorang pengawal keselamatan cedera parah dengan kesan kecederaan dipercayai ditetak di kepala dan badan di Bedong, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian dikatakan berlaku di dua lokasi berasingan.

“Anggota polis yang bertugas di Pondok Polis Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) menerima laporan daripada pegawai perubatan Jabatan Kecemasan di Zon Merah pada jam 2.20 pagi tadi memaklumkan menerima kes dua lelaki yang mempunyai kesan kecederaan akibat ditetak.

“Siasatan awal mendapati, berlaku dua kejadian iaitu bermula di sebuah tapak kosong di simpang ke Kampung Toh Pawang, apabila mangsa pertama iaitu pengawal keselamatan yang ketika itu sedang bekerja dan ditemani seorang rakan dikatan telah diserang lima lelaki bersenjatakan parang.

"Akibat daripada itu, mangsa mengalami kecederaan parah di dada, tangan kiri dan kanan manakala rakan mangsa sempat melarikan diri dari tempat kejadian.

"Seterusnya kesemua suspek pergi ke belakang sebuah premis cuci kereta di Taman Bedong yang terletak kira-kira 2.7 kilometer (km) dari kejadian pertama.

"Kesemua suspek kemudian menyerang mangsa yang juga pekerja kedai cuci kereta yang berada di situ menyebabkan seorang mangsa mengalami cedera parah di pelbagai anggota badan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 20-an itu kemudian dibawa ke HSAH oleh rakan mereka dan salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia.

Belia berkata, siasatan di tempat kejadian turut dibantu oleh pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Unit Anjing Pengesan (K-9) masih menyiasat motif kejadian bagi kedua-dua kes berkenaan.

Susulan kejadian polis berjaya menahan tiga lelaki berusia 20-an hingga 30-an di sekitar daerah ini untuk membantu siasatan berhubung kes itu.

"Pihak polis masih menyiasat motif kejadian bagi kedua-dua kes berkenaan," katanya.

Menurutnya lagi, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera paruh yang disiasat secara berasingan.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati bagi kesalahan bunuh dan jika disabitkan kesalahan menyebabkan cedera parah boleh di hukum penjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan denda atau sebatan.