Dia yang lebih dikenali sebagai Cikgu Anas mendakwa pergi ke tapak pasar malam di Jalan Pegawai berkenaan kira-kira jam 11.30 malam Ahad bagi meninjau masalah melibatkan peniaga seperti dimaklumkan kepadanya.
"Pada awalnya, saya hanya mahu berbincang dengan ketua peniaga namun apabila tiba di lokasi, saya mendapati ada seorang (pemimpin pertubuhan bukan kerajaan) ada bersama peniaga.
"Saya memaklumkan saya tidak dapat berbincang dengan (ketua peniaga) pada masa itu kerana kehadiran (pemimpin NGO terbabit) untuk elak isu politik.
"Saya kemudian cuba masuk ke dalam kereta, namun (pemimpin NGO itu) menjerit berkali-kali memanggil saya turun sambil merakam video.
"Saya beritahu tutup video dan kita bincang, saya segera turun menghadap dia lalu bertanya apa masalah dia. Dia mengajak saya berbincang di tempat lain," dakwanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Salmy mendakwa, ketika itu beliau menyedari pemimpin NGO itu terus merakam video menggunakan telefon bimbitnya.
"Saya enggan berbincang dan dia cuba melanggar saya untuk memaksa saya bergerak ke tempat lain. Saya yang hampir terjatuh dan tersentuh badannya.
"Akibat daripada itu (pemimpin NGO itu) tiba-tiba berlakon seperti disakiti kerana saya tersentuh dia. Dia terus menjerit memanggil peniaga lain mendakwa saya lakukan kekasaran.
"Saya kemudian terus masuk ke dalam kereta dan mengajak (ketua peniaga) masuk untuk bercakap di dalam kereta. Ketika itu peniaga lain datang menyerbu saya," dakwanya.
Menurut Anas, beliau dan ketua peniaga sempat berbincang hingga jam 12.40 tengah malam sebelum beredar dari tapak pasar malam itu.
Sebelum ini Astro AWANI melaporkan seorang pegawai Pejabat Menteri Besar Kedah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung satu insiden pertengkaran membabitkan orang awam.
Dalam video yang tular di media sosial berkenaan, dikatakan berlaku perselisihan faham antara pegawai terbabit dan orang awam di kawasan berdekatan tapak pasar malam Jalan Pegawai.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, polis menyiasat laporan daripada dua lelaki tempatan berusia 48 dan 54 tahun berhubung video pergaduhan berkenaan.