Menurut sumber, SPRM memperoleh perintah reman ke atas suspek lelaki yang bergelar Datuk berusia dalam lingkungan 50-an sehingga Jumaat manakala seorang lagi suspek lelaki, 30-an ditahan reman selama dua hari sehingga Rabu.
"Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi," katanya pada Selasa.
Sumber itu berkata, seorang lagi suspek lelaki berusia lingkungan 40-an yang juga penjawat awam turut ditahan tetapi dibebaskan dengan jaminan SPRM.
"Ketiga-tiga suspek yang mana salah seorang daripadanya merupakan pegawai kanan kementerian bergelar Datuk ditahan lewat malam pada Isnin.
"Suspek bergelar Datuk itu adalah Setiausaha Bahagian dan bertanggungjawab mengawal selia sebuah agensi Badan Berkanun Kerajaan. Dua lagi merupakan pegawai khas dan pemandu beliau. Kesemuanya telah ditahan ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya," ujarnya.
Kata sumber, suspek utama dipercayai melakukan perbuatan itu baru-baru ini dengan mengemukakan kertas cadangan program terbabit untuk kelulusan peruntukan dan kemudiannya disalurkan kepada sebuah agensi kerajaan berkaitan.
"Suspek turut disyaki berpakat dengan orang dalam agensi kerajaan terbabit dan mengeluarkan wang peruntukan tersebut secara tunai yang bernilai ratusan ribu ringgit dan kemudiannya digunakan untuk keperluan peribadi," kata sumber.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan terbabit dan menyatakan kes disiasat di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009.