PUTRAJAYA: Pegawai imigresen di kaunter Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit ketika bertugas bagi memastikan sindiket 'counter setting' yang membawa masuk warga asing melalui 'laluan kaunter khas' tidak berulang.


Ringkasan AI
  • Pegawai imigresen di KLIA tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit semasa bertugas untuk mengelakkan sindiket 'counter setting'. SPRM mencadangkan penambahbaikan pada jadual penetapan pegawai dan kawalan lebih ketat untuk mengelakkan pegawai dihubungi sindiket. Terdapat kelemahan dalam kawalan, pemantauan, dan sistem pemeriksaan yang memudahkan pegawai menerima rasuah dan membenarkan kemasukan warga asing tanpa syarat.


Demikian antara cadangan penambaikan yang perlu dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengelakkan pegawai terbabit mudah dihubungi pihak ejen dan sindiket, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Selain itu, Azam berkata SPRM turut mencadangkan jadual penetapan pegawai di kaunter dibuat ketika pegawai masuk bertugas dan sudah berada di zon kaunter selain perlu dibuat oleh pihak lain.

"Banyak lagi perkara perlu dilihat JIM termasuk pemilihan pegawai, kaedah bekerja dan cara untuk mengatasi isu rasuah.

"Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) akan membuat penyiasatan lanjut yang mengambil tempoh dua bulan untuk melihat keseluruhan proses kerja dan mencadangkan kepada JIM dan Kementerian Dalam Negeri bagi penambahbaikan proses kerja," katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Azam berkata sindiket 'counter setting' berlaku berpunca daripada kelemahan dalam aspek kawalan dalaman ketika bertugas yang menyebabkan pegawai imigresen mudah didekati ejen dan sindiket serta putaran tempat kerja yang tidak sistematik.

Beliau berkata faktor lain termasuk kurang pemantauan dan penyeliaan serta kelompangan dalam kaedah kerja, sistem pemeriksaan ke atas kemasukan warga asing yang mudah untuk dimanipulasi dan susah untuk membuat semakan semula.

Pegawai bertugas juga katanya terlalu selesa dan lama bertugas di lokasi yang sama.

"Siasatan mendapati wujud amalan dalam pegawai imigresen yang menerima rasuah bagi melepaskan warga asing yang tidak menepati syarat kemasukan. Tiada prosedur operasi standard (SOP), pengawasan yang ketat dan pihak JIM perlu bertanggungjawab buat operasi besar-besaran tangkap pendatang tanpa izin (PATI)," katanya.

Beliau berkata tiada pemantauan dan tapisan pihak ketiga membabitkan semakan dokumen termasuk tiket pulang dan penginapan sepanjang tempoh di Malaysia serta habuan rasuah yang lumayan juga menyebabkan pegawai bertugas terlibat dalam sindiket itu.

-- BERNAMA