KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan semua pegawai awam supaya tidak membuat sebarang pernyataan awam termasuk menerusi media sosial melainkan diberi kuasa atau mandat oleh pihak kementerian atau jabatan.

Menurut hantaran Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini, Shamsul Azri mengingatkan perkara berkenaan menerusi Mesyuarat Pengurusan Jabatan Perdana Menteri Tahun 2024.

"Jika disabitkan kesalahan dan mengingkari mana-mana peraturan yang sedang berkuat kuasa, tindakan tatatertib boleh dikenakan kepada pegawai awam terlibat," menurut hantaran itu.

Hantaran berkenaan turut berkongsi maklumat yang menjelaskan bahawa pegawai awam tidak boleh secara lisan atau bertulis membuat pernyataan awam yang boleh memudaratkan dasar, rancangan atau keputusan kerajaan tentang sebarang isu, memalukan atau memburukkan nama kerajaan.

Larangan berkaitan perkara berkenaan dinyatakan secara jelas dalam Peraturan 19(1) dan 19(2) di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Untuk maklumat lanjut, boleh merujuk contoh kes dalam Buku Setitik Nila 2.0: Koleksi Pengurusan Kes Tatatertib Pegawai Awam melalui pautan https://docs.jpa.gov.my/.../flipbook/Buku-Setitik-Nila-ver2/.

-- BERNAMA