KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat bahawa pegangan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) oleh Global Infrastructure Partners (GIP) bersama Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dimaklumkan kepada Kabinet selepas keputusan tersebut dibuat.

Menurut Perdana Menteri, ini kerana keputusan pelaburan yang dibuat oleh Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) bukan urusan kerajaan dan tidak pernah dirujuk kepada Kabinet.

Malah, jelas beliau, amalan berkenaan bukan baharu dan ia proses sama yang dilakukan semasa kerajaan-kerajaan terdahulu melibatkan pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Pertama, semua pelaburan PNB, KWSP, dan Khazanah itu bukan urusan Kabinet selama ini.

"Saya lihat minit-minit mesyuarat sebelumnya melibatkan keputusan pelaburan Khazanah, KWSP dan PNB tidak dirujuk kepada Kabinet termasuk semasa rakan-rakan sebelah sana (pembangkang) menjadi anggota Jemaah Menteri.

"Tetapi dalam kes ini (pegangan saham MAHB), saya ada maklumkan selepas itu bahawa ini yang berlaku. Ini sebagai makluman sahaja.

"Kalau ada ahli Kabinet bangkitkan (mereka tidak tahu), betul kerana saya maklumkan setelah keputusan dibuat," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan  Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat berhubung dakwaan bahawa Kabinet tidak dimaklumkan mengenai urusan pegangan saham dalam MAHB.

BERITA LANJUT MENYUSUL