KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran 28 pegawai kanannya berkuat kuasa 8 Julai ini.

Setiausaha PDRM DCP Alzafny Ahmad dalam kenyataan memaklumkan pertukaran itu antaranya melibatkan Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris akan menjawat jawatan yang ditinggalkan Mohd Yusri dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

SAC Modenisasi Pengurusan Organisasi Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman SAC Zulkafli Sariaat pula dilantik Timbalan Ketua Polis Perak dengan memangku pangkat DCP.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan dilantik ke jawatan Ketua Jabatan Pengurusan Selangor dengan memangku pangkat SAC.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh pula dilantik Ketua Penolong Pengarah Pasukan Khas Siasatan Bersepadu Urus Setia Pejabat KPN dengan memangku pangkat SAC.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (D4) Risikan/Operasi/Rekod Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

-- BERNAMA