Manakala pemuliharaan nilai integriti perlu dikekalkan senantiasa walau apa jua terjadi, jangan sampai tergadai nilai integriti diri dalam memelihara semangat patriotisme.
Laungan dan semangat berkobar-kobar melontarkan suara Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Pekikan suara penuh semangat patriotisme dan suara keramat yang keluar daripada jiwa raga yang mencintai merdeka.
Teringat ketika seusia kanak-kanak dahulu, ketika nenek moyang kita menyebut serta melafazkan ayat ini dengan suara bergetar yang mempunyai rasa dalam jiwa kerana berasa sangat-sangat terharu, sedih bercampur gembira, dan sangat bersyukur.
Kini bagaimana pula hati perasaan kita apabila perkataan merdeka ini disebut atau dilafazkan? Apakah yang kita rasakan?
Adakah kita merasa terharu? Adakah kita berasa bersyukur? Atau paling tidak, adakah kita rasa bangga? Atau kita tiada rasa apa-apa apabila ia dilaungkan?
Umat Islam di negara ini wajib bersyukur atas nikmat kemerdekaan tidak ternilai itu. Dengan naungan rahmat dan hidayah Ilahi, setiap lapisan masyarakat dapat menyambut Hari Kemerdekaan ke-63, hari ini.
Seiring laungan kemerdekaan berkumandang seluruh negara, bendera Jalur Gemilang dikibarkan mencerminkan kegemilangan Malaysia mewujudkan masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama sebagai masyarakat harmoni dan sejahtera.
Sudah 63 tahun negara kita Malaysia telah merdeka daripada penjajahan. Alhamdulillah.
Sekiranya dibuat perbandingan dengan manusia, umur 63 tahun secara fitrahnya akan tergambar dalam fikiran kita akan kewujudan manusia yang matang dari segi fikiran dan kerjaya, mantap dari segi sahsiah jati diri berintegriti dan material.
Begitu juga dengan negara kita, Malaysia kini signifikan pada mata dunia, malah telah menduduki antara negara yang maju berbanding negara jiran dari segi perkembanga ekonomi, keperpaduan dan integrasinya.
Tetapi bagaimana pula dengan daya hala tuju pemikiran dan cara kita bertindak bagi memulihara kemerdekaan dalam perspektif integriti dipelihara?
Adakah kita dapat menyelami apa itu erti kemerdekaan sedalam-dalamnya? Adakah jiwa dan fikiran kita benar-benar menyantuni dan mengamalkan semangat merdeka dengan sulami amalan nilai integriti?
Patriotisme dipulihara
Keamanan dan kesejahteraan terbina kerana adanya semangat integrasi. Adalah sukar membentuk integrasi dan perpaduan jika tidak ada patriotisme.
Cabaran Malaysia sebuah negara majmuk bukan boleh dipandang ringan. Keamanan adalah asas kepada pembinaan pembangunan.
Maka dengan itulah semangat dan amalam patriorisme sangat dituntut sejak di bangku sekolah lagi bagi tujuan pemuliharaan sebagai asas jati diri setiap rakyat Malaysia.
Tidak boleh tidak, setiap kali munculnya bulan Ogos, isu berkaitan semangat patriotisme sering kali menjadi bualan masyarakat Malaysia.
Patriotisme sering kali dikaitkan dengan cintakan watan yang menjadi satu semangat atau nilai yang perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat, khususnya generasi muda.
Nilai patriotisme yang menjadi sebahagian daripada nilai murni, sekiranya dapat dijiwai dan diamalkan sebaik mungkin, akan dapat menyumbang ke arah pembentukan generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia.
Oleh itu, adalah sangat wajar bagi generasi muda khususnya menjadikan nilai patriotisme sebagai amalan atau pegangan serta disemai dalam jiwa segenap lapisan masyarakat Malaysia demi kelangsungan negara dalam menghadapi era pasca modenisme dan dikenali sebagai masyarakat majmuk.
Selain itu, patriotisme berkait rapat dengan nasionalisme dan kedua-dua istilah ini sering ditukar ganti penggunaannya seolah-olah sinonim dengan satu sama lain.
Patriotisme juga membayangkan bahawa seseorang wajar mengutamakan kepentingan negara berbanding kepentingan diri dan kelompoknya.
Ketika peperangan, mungkin nyawa diri yang perlu dikorbankan. Gugur dalam pertempuran demi tanah air adalah contoh tipikal bagi patriotisme yang aulia atau ekstrem.
Walaupun patriotisme sering disamakan dengan nasionalisme, tetapi kedua-duanya ada perbezaan.
Semangat patriotik dapat disimpulkan sebagai roh atau kumpulan orang yang mempunyai pendapat yang sama dalam mengekalkan dan melindungi negara tercinta.
Nasionalisme wujud selepas patriotisme dibina dalam jiwa setiap individu dalam masyarakat itu. Ia wujud selepas beransur-ansur penjanaan nilai-nilai positif patriotik dalam individu untuk mempertahankan semangat nasionalisme.
Ironinya, patriotisme boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu patriotisme peribadi dan patriotisme rasmi. Patriotisme peribadi adalah berperasaan dan sukarela.
Patriot mematuhi nilai patriotik tertentu, seperti menghormati bendera. Kerajaan memupuk patriotisme rasmi yang penuh isi simbolik dan istiadatnya.
Patriotisme ini adalah kepentingan logik negeri itu sendiri, yang memperoleh kesahan daripada menjadi penyataan kebaikan bersama komuniti politik.
Tugu Negara dan Hari Pahlawan dan upacara peringatan adalah contoh bagi jenis patriotisme ini. Selalunya patriotisme rasmi diatur oleh protokol, dengan kaedah-kaedah tertentu untuk mengendali bendera, atau jaminan atau penunjukan kesetiaan tertentu.
Kepentingan pupuk semangat patriotisme
Patriotisme juga banyak bergantung kepada tindakan simbolik, seperti mempamerkan bendera, menyanyi lagu kebangsaan, menyertai perhimpunan berunsurkan kenegaraan secara beramai-ramai, meletakkan pelekat patriotik pada kenderaan, atau apa-apa cara sekalipun untuk menyatakan kesetiaan kepada negara pada peringkat umum.
Bagaimanapun, masyarakat sekarang seakan-akan lupa akan pentingnya memupuk semangat patriotisme dalam diri masing-masing.
Hal ini kerana kita sering kali melihat anak bangsa kita yang tidak mengambil endah akan isu-isu yang menonjolkan semangat patriotisme seperti bangga akan pencapaian negara dan budaya bangsa, kehendak memelihara ciri-ciri bangsa dan dasar budayanya dan identifikasi dengan ahli-ahli lain dalam bangsa.
Tanpa kita sedar patriotisme memainkan peranan yang sangat penting dalam diri setiap rakyat Malaysia dalam mengekalkan kemerdekaan yang telah kita capai selama ini.
Antara signifikasi patriotisme adalah membina nilai persefahaman dan penyatuan antara kaum, menjadi pemacu kepada kemajuan negara serta satu pelaburan strategik ke arah keselamatan negara.
Demi mencapai persefahaman antara kaum pelbagai usaha telah kerajaan lakukan. Mungkin kita tidak pernah perasan, kebanyakan tema kemerdekaan berkaitan dengan perpaduan rakyat.
Antaranya ialah muhibah dan perpaduan, bersatu maju, kebudayaan sendi perpaduan, nasionalisme teras perpaduan dan lain-lain lagi.
Dari sini, kita dapat lihat bertapa pentingnya perpaduan sebagai pengikat dalam kalangan rakyat Malaysia yang bersifat majmuk.
Tanpa perpaduan, rakyat Malaysia yang berbeza bangsa, latar belakang dan agama akan mudah diprovokasi dan diadu domba oleh pihak yang mempunyai kepentingan mereka sendiri.
Dengan kefahaman patriotik yang tinggi, pemeliharaan dan pemerkasaan perpaduan dapat dibentuk dengan mudah.
Dengan itu, peristiwa yang dapat menggugat keamanan negara seperti peristiwa 13 Mei dan peristiwa Kampung Medan 4 Mac 2001 dapat kita hindari.
Justeru, patriotisme adalah ejen sosialisasi yang berkesan dan mantap untuk mengekalkan kemerdekaan sehingga pada masa akan datang.
Bagaimanapun, terdapat banyak kekangan untuk mencapai objektif ke arah sifat patriotisme ke arah negara bertamadun tinggi.
Sehubungan dengan itu, perlunya inti pati semangat ini diselitkan dalam pendidikan negara terutama dari sekolah rendah, bak kata pepatah Melayu "melentur buluh biarlah dari rebungnya".
Oleh itu, pendidik perlu menyemai semangat patriotisme dengan lebih kreatif supaya pelajar dapat menjiwai dengan lebih mendalam.
Tuntasnya di sini, seluruh rakyat Malaysia pada masa kini adalah tonggak utama dalam memastikan Malaysia agar terus merdeka walau 50 tahun mahupun 100 tahun yang akan datang.
Hal ini kerana kemerdekaan yang dicapai adalah daripada kaum yang bersatu padu dalam memastikan Malaysia terus aman dan menepis segala ancaman dari dunia luar agar Malaysia tidak akan dijajah semula.
Bak kata Tun Dr. Mahathir: "Mereka yang melupakan sejarah, pasti akan mengulanginya".
Oleh yang demikian, sebagai rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum dan berbeza agama, tentunya tidak mampu menunggu sehingga tahap kritikal.
Tentulah kita mengetahui pentingnya patriotisme sebagai rakyat Malaysia seperti perumpamaan "sudah terhantuk, barulah terngadah".
Rentetan itu, nilai patriotisme haruslah diterapkan kepada anak muda kita sejak awal pembelajaran lagi agar menjadi pegangan hidup kelak.
Jika dahulunya pengukuran patriotisme diterjemahkan sebagai tindakan mengangkat senjata melawan penjajah, tetapi hari ini kita telah merdeka dan pengertian kolonialisme sudah tiada maknanya lagi.
Maka patriotisme pun harus diertikan dengan cara berbeza. Patriotisme yang harus diindekskan sekarang adalah keupayaan mewujudkan kebaikan bagi semua pihak di Malaysia.
Integriti dipelihara
Integriti dinisbahkan sebagai sikap jujur, amanah, kebertanggungjawaban dan amalan moral yang tinggi dalam diri seseorang individu.
Nilai integriti bermula dari dalam diri individu menerusi niat, kemudian diterjemahkan kepada sikap dan kelakuan luaran.
Keutuhan semangat kemerdekaan sesebuah organisasi atau negara bergantung kepada nilai integriti yang ada pada individu dalam organisasi dan masyarakat.
Musibah COVID-19 banyak menguji dan mengajar kita mengenai kepentingan nilai integriti. Kurangnya nilai kejujuran dalam diri individu dan masyarakat yang akhirnya boleh memberi kesulitan kepada negara amnya.
Selain kebimbangan pelanggaran integriti yang mampu meruntuhkan semangat patriotisme, timbul pula isu gejala pelanggaran governan, integriti dan jenayah rasuah.
Lebih mendukacitakan hal ini berlaku dalam kalangan pemimpin dan penjawat awam. Justeru dalam konteks integriti, gejala ini sebenarnya mampu membunuh kemakmuran dan keharmornian negara.
Rakyat semakin hari mempersoalkan apakah gejala ini berlaku kerana kurangnya rasa integriti negara atau kerana desakan ekonomi semasa?
Jika keadaan ini berterusan, agaknya bagaimana suasana Malaysia pada masa akan datang? Wajarkah senario ini dipersalahkan kepada kerajaan atau sistem pendidikan negara?
Pada masa sama, apakah cara terbaik menghapuskan keadaan ini? Meningkatkan rasa cinta negara dan integriti patriotisme adalah pilihan yang boleh dilaksanakan selain mengutamakan aspek iman dan moral dalam diri warganegara.
Secara tuntasnya, integriti pula bermaksud “continuous adherence to moral principles, honesty, wholeness, the quality of being unimpaired; soundness” (Collin English Dictionary).
Menurut Glosari Integriti, Institut Integriti Malaysia (IIM), integriti memberi maksud “perihal sifat individu dan organisasi yang sempurna, berteraskan nilai murni seperti jujur, benar, amanah, adil, bertanggungjawab, telus, cekap dan bijaksana”.
Oleh itu, Integriti merupakan suatu tahap, keadaan atau sifat yang sempurna dan tiada cacat cela, tidak ada rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan, tiada rungutan dan aduan atau ketidakpuasan hati pelanggan ke atas perkhidmatan yang diberi.
Maka wujudlah perkhidmatan yang telus, accountable, adil dan saksama.
Bagaimana pula hubungan tadbir urus yang baik dengan integriti? Sebuah tadbir urus yang baik mempunyai elemen integriti.
Integriti adalah asas kepada sebuah tadbir urus yang baik. Oleh itu, usaha untuk meningkatkan integriti adalah selari dengan usaha mengukuhkan tadbir urus yang baik dalam masyarakat.
Jangan memandang enteng pada nilai integriti pada sisi seseorang individu kerana individu yang akan menentukan corak sesebuah masyarakat sehingga memelihara semangat kemerdekaan menerusi patriosme.
Kepentingan integriti individu sangat ditekankan dalam Islam. Lihat sahaja nilai integriti pada keperibadian figura Islam dalam mendepani keperluan negara dan keperluan peribadi.
Kisah bagaimana Khalifah Umar Abdul Aziz apabila sedang menguruskan hal negara menggunakan lilin daripada aset kerajaan dan selepas itu apabila membicarakan hal keluarga, beliau segera mengarahkan pembantunya menyalakan lilin kecil kepunyaannya.
Jika perkara sekecil ini pun diambil kira oleh pemimpin seperti beliau, alangkah mengecewakan ada individu hari ini ‘mengambil’ hak kerajaan, dengan kata lain ‘mencuri’ hak kerajaan bagi tujuan peribadi.
Tuntasnya, integriti pemimpin yang boleh dipersoal akan menyebabkan integriti organisasi atau kumpulan manusia yang dipimpinnya turut dipertikaikan.
Pada masa sama, dilema dihadapi pengikut adalah sejauh mana perlunya mereka untuk terus taat dan setia kepada pemimpin yang memiliki integriti diri yang meragukan.
Kesimpulannya, membentuk diri untuk menjadi seorang individu berintegriti bukan mudah.
Namun, setiap individu yang inginkan kelangsungan kehidupan cemerlang pada masa hadapan perlu berusaha sedaya mungkin untuk memperkukuh integriti diri sendiri dan individu di bawah tanggungjawab masing-masing.
Memetik kata-kata cendekiawan Albert Einstein "integrity without knowledge is weak and useless, and knowledge without integrity is dangerous and dreadful...".
Jadi, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memperkasa dan membudayakan amalan integriti dalam semua aspek kehidupan bagi memastikan negara kita sentiasa ditunjangi ahli masyarakat madani yang memiliki integriti diri yang tinggi.
Harus difahami patriotisme adalah rasa cinta kepada bangsa dan negara. Rasa cinta itu wujud dalam tindakan nyata.
Ada empat aspek daripada patriotisme. Pertama, patriotisme mencakupi perasaan sayang dan cinta pada negara.
Kedua, patriotisme meliputi kebertangungjawaban pada kekayaan negara dan permasalahan negara.
Ketiga patriotisme mencakupi aspek beragama dan moral bagi memperbaiki situasi bangsa dan negara.
Keempatnya, patriotisme mencakupi kesediaan secara sukarela berkorban demi bangsa dan negara.
Disarankan empat perkara inilah yang wajar diterapkan sebagai elemen Indeks Patriotisme Negara dalam pengukuran yang dilaksanakan.
Ironinya, apa erti Jalur Gemilang berkibar megah jika nilai kronologi sejarah tidak dihormati? Apa gunanya setiap rumah mengibarkan bendera jika masih ada rakyat yang tidak boleh berbahasa kebangsaan?
Apa ertinya negara akan menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-63 jika rakyat yang berbilang bangsa masih lagi syak wasangka sesama sendiri.
Semua ini masalah pokok yang harus diselesaikan. Jika tidak sambutan tidak ada erti dan tiada bezanya dengan perayaan lain yang dirayakan di negara ini.
Semangat patriosme dihayati, integriti bukan dikhianti.
Ironinya, ada kemungkinan pantun klasik karya tokoh pejuang kemerdekaan, Dr Burhanudin al-Helmi dapat memberikan erti kemerdekaan.
Di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu-padulah segenap baka
Membela hak keadilan pusaka
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
* Hamilye Sham Harun merupakan Pengurus Besar Kanan, Bahagian Khidmat Korporat, Institut Integriti Malaysia.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.