KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas atau task force jemaah haji terkandas yang diaktifkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula 10 Jun lalu akan menamatkan tugas mereka pada jam 12 malam ini.


Ringkasan AI
  • Pasukan petugas khas yang diaktifkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menangani isu jemaah haji terkandas akan menamatkan tugas mereka pada jam 12 malam ini.
  • Pasukan ini terdiri daripada 71 pegawai, termasuk 50 orang dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dan 21 pegawai dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
  • Selama 12 hari penugasan, enam laporan polis telah diterima daripada dua pengadu berbeza, melibatkan nilai kerugian sebanyak RM21,000.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pasukan ini melibatkan seramai 71 pegawai secara keseluruhannya iaitu 50 orang daripada Siasatan Jenayah Komersil dan 21 pegawai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Sepanjang 12 hari penugasan sejumlah enam laporan polis telah diterima daripada dua pengadu berbeza melibatkan nilai kerugian RM21,000. Bagi laporan polis yang melibatkan isu penipuan, siasatan sedang dijalankan oleh pihak PDRM di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Menara KPJ hari ini.

Tambah beliau, untuk laporan melibatkan kesalahan di bawah bidang kuasa pihak Tabung Haji, kes telah dirujuk kepada agensi tersebut untuk tindakan selanjutnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan KLIA, Malaysia Airport Holding Berhad, MOTAC, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Kuala Lumpur dan Ketua Polis Negeri Sembilan serta Tabung Haji atas Kerjasama diberikan dan bantuan sumber manusia sepanjang penugasan.