PAS telah meminta usul pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berkaitan hudud di Parlimen, didahulukan, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

Beliau merujuk kepada pembentangan RUU itu yang membolehkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

“Kita ada minta usul (rang undang-undang_ persendirian didahulukan… dan kita akan tunggu keputusan Speaker,” kata Abdul Hadi kepada pemberita ketika ditemui di luar Dewan Rakyat pada Rabu.

Menurutnya, ia merupakan hak bagi kerajaan negeri Kelantan untuk mengemukakan RUU tersebut dan katanya tidak ada halangan dari DAP untuk tidak bersetuju.

“Bahkan dalam perjalanan kita di Pakatan Rakyat, ada banyak perkara yang dilakukan oleh DAP dan PKR tanpa diberitahu kepada PAS,” tegas Abdul Hadi.

Ditanya sama ada beliau telah mendapat sokongan dari ahli UMNO untuk RUU ini dibentangkan, katanya setakat ini perbincangan sudah pun dibuat.

“Tunggu tunggu… insyaAllah perbincangan sudah dibuat dengan UMNO Kelantan… sudah buat dengan UMNO Kelantan,” katanya.

Mengulas tentang tindakan PAS Kawasan Titiwangsa hari ini yang menghantar memorandum ke Parlimen meminta sokongan terhadap pembentangan RUU tersebut, katanya itu adalah kewajipan orang Islam untuk menyokong undang-undang itu.

Terdahulu, PAS Titiwangsa telah mengemukakan satu memorandum menyokong RUU Persendirian Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) untuk dibentangkan oleh Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Pada 18 Mac lalu, Abdul Hadi telahpun mengemukakan satu notis bagi usul tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat.

RUU berkenaan telah pun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac lalu.