Beliau yang kini berada di blok pembangkang antaranya berkata, kenyataan kerajaan bahawa kenaikan cukai perkhidmatan dan pengurangan subsidi hanya akan memberikan impak kepada golongan 'maha kaya', disifatkan sebagai pembohongan yang jelas.
Mengambil contoh ayam dan telur, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu menambah, kebanyakan mereka yang membeli keperluan asas itu tergolong dalam kumpulan B40 dan M40.
"Kita lihat apa impak pengurangan subsidi ini harga ayam dan telur ini, dianggarkan akan ada kenaikan sampai 35 peratus iaitu kenaikan yang mendadak. Jika kita pergi ke beberapa musim perayaan kenaikan itu jauh lebih tinggi.
"Kita tak pergi ke musim perayaan, apa yang dianggarkan oleh pakar-pakar harga ayam daripada RM9.40 boleh mencecah RM12, manakala telur daripada RM14 naik ke RM18.30.
"Sama juga dengan ayam, apabila harga diapungkan kenaikan kos sara hidup rakyat itu sangat membebankan dan ini secara khusus akan membebankan golongan pertengahan dan B40," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Membahaskan lanjut, Syed Saddiq berkata situasi sama berlaku dalam penggunaan diesel, yang mana kumpulan terbesar yang menggunakan bahan api itu bukan datang daripada kategori 'maha kaya'.
Ini kerana katanya, terdapat golongan pertengahan dan bawahan yang menggunakan diesel untuk tujuan pengangkutan dan perniagaan.
Selain itu, beliau mengunjurkan akan berlaku peningkatan sekitar RM600 sebulan atau RM7,200 setahun bagi isi rumah yang memiliki sekurang-kurang empat orang anak, atas faktor peningkatan enam harga barangan asas seperti diesel, ayam, telur, minyak paket, beras serta gula.
"Walaupun kerajaan mengumumkan tambahan wang tunai RM600 setahun, contohnya tangan kiri memberikan RM600 setahun, dan tangan kanan mengambil RM7,200 setahun dengan kenaikan kos sara hidup yang menjerat, mencekik dan menekan golongan pertengahan.
"Sebab itu, bukan saya yang katakan tetapi boleh tanya rakyat di bawah sana bila kita pergi berjumpa, mereka tidak lagi panggil Madani, tetapi mereka panggil 'mahal dah ni'," tambah Syed Saddiq.
Sehubungan itu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu mencadangkan tiga jalan tengah dalam mendepani perkara tersebut iaitu, melaksanakan sistem apungan harga barangan asas secara berkala dalam tempoh lima tahun dengan 'signal' (garis panduan) yang jelas.
Selain itu, beliau juga mahu kerajaan memperincikan strategi pelaksanaan subsidi bersasar melibatkan diesel agar golongan bawahan seperti peniaga kecil yang menggunakan bahan api tersebut tidak terkesan.
"Ketiga kalau kita serius ingin membuat jalan 'cash and out' ataupun sumbangan tunai terus seperti dicadangkan oleh Yang Berhormat Titiwangsa, yang saya sokong dan dokong, jelas jumlahnya perlu lebih tinggi tidak mencukupi kalau memberikan RM600 tetapi kos harga barang tahunan naik RM7,200," tegasnya.