Dua pemuda yang melakukan aksi seni pergerakan badan 'Parkour' dinasihat meminta kebenaran sebelum membuat sebarang 'persembahan' terutama melibatkan isu keselamatan diri di tempat tinggi dan memanjat jambatan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr J. Loga Bala Mohan berkata, kementeriannya tidak memberi jaminan seandainya sesuatu yang buruk berlaku termasuk kemalangan yang mungkin meragut nyawa atau sebarang kecederaan.

"Kita tidak pernah benarkan apa juga aksi panjat jambatan di Putrajaya. Mereka perlu mengikut undang-undang.

"Kalau pakar sekalipun, mereka perlu menunjukkan kelayakan dan pihak keselamatan serta perubatan mungkin boleh bersedia jika perkara yang tidak diingini berlaku. Mereka tidak boleh berdegil dan apa yang dibuat adalah kesalahan," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.



Video berdurasi 3 minit 18 saat yang memaparkan aksi dua pemuda yang menunjukkan gerakan 'Parkour' di Jambatan Seri Wawasan Putrajaya - Sumber YouTube bukmada kulda

Dr J. Loga mengulas, aksi Abudi Alsagoff dan rakannya, Abir Kot yang membuat keputusan untuk memanjat Jambatan Seri Wawasan di Putrajaya bagi mencabar diri terutama untuk menghilangkan ketakutan pada ketinggian, selain tertarik dengan keunikan jambatan berkenaan.



Aksi pemuda yang menunjukkan gerakan 'Parkour' sebelum memanjat Jambatan Seri Wawasan Putrajaya - Sumber gambar Instagram @abirkot


Aksi pemuda yang menunjukkan gerakan 'Parkour' semasa memanjat Jambatan Seri Wawasan Putrajaya - Sumber gambar Instagram @abirkot


Aksi pemuda yang menunjukkan gerakan 'Parkour' semasa memanjat Jambatan Seri Wawasan Putrajaya - Sumber gambar Instagram @abirkot

Kata mereka, elemen cabaran itu adalah satu daripada aspek yang terdapat dalam 'parkour' iaitu sejenis seni pergerakan badan yang bertujuan bergerak dari satu tempat ke tempat lain sepantas mungkin.

'Parkour' juga dikatakan salah satu aktiviti yang dapat meningkatkan tahap kekuatan fizikal dan mental.

Dalam pada itu kata Dr J. Loga, pihaknya akan mengambil tindakan seandainya aksi mereka berdua tidak mendapat sebarang kelulusan.

"Panjat-panjat sebegini satu perbuatan yang tidak boleh diterima, kita pasti ambil tindakan di atas perbuatan mereka.

TONTON: Parkour bukan sekadar ekstrem

"Kita tidak pernah membenarkan sesiapa memanjat jambatan di Putrajaya dan ia mengundang pengaruh kepada orang lain yang bukan pakar untuk mencubanya," ujarnya.

BACA: Taylor Lautner tayang aksi parkour dalam filem Tracers

Sebelum ini, pelakon popular, Taylor Lautner dilaporkan menunjukkan seni parkour dalam bentuk komersial oleh Hollywood melalui filem aksi 'Tracers'.