KUALA LUMPUR: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) tidak terbabit secara langsung dalam kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran melalui program latihan ijazah kepakaran atau 'parallel pathway'.


Ringkasan AI
  • MQA tidak terlibat dalam isu pendaftaran doktor perubatan melalui laluan 'parallel pathway'.
  • Penyelesaian dicadangkan melibatkan program latihan di UiTM untuk pakar bedah kardiotoraksik.
  • MQA bekerjasama dengan badan profesional untuk pastikan kualiti program pendidikan tinggi dan proses pendaftaran pegawai perubatan.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Mohammad Shatar Sabran, menjelaskan bidang kuasa menerima atau menolak pendaftaran dan pensijilan pengamal perubatan tertakluk kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) termasuk kepakaran perubatan, dan dalam isu ini ialah kardiotoraksik.

Katanya, hanya aktiviti akreditasi dan pengiktirafan institusi perubatan di dalam negara dijalankan secara bersama antara MQA dengan MMC, justeru isu yang timbul sebelum ini tidak membabitkan MQA secara langsung.

"MQA hanya bertindak sebagai pemudah cara bagi membantu menyelesaikan isu yang berkaitan berdasarkan bidang kuasa dan peraturan sedia ada di agensi ini," katanya ketika ditanya mengenai isu membabitkan program latihan ijazah kepakaran atau 'parallel pathway'.

Isu ini timbul selepas MMC menolak permohonan empat pakar bedah kardiotoraksik untuk disenarai dalam Daftar Pakar Kebangsaan kerana Fellowship of Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka tidak diiktiraf susulan penguatkuasaan pindaan Akta Perubatan mulai 2017.

Antara penyelesaian yang dicadangkan oleh sesetengah pihak adalah empat pakar itu diterima untuk melalui latihan khusus di Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang merupakan universiti pertama menawarkan program kepakaran perubatan dengan kerjasama Institut Jantung Negara dalam bidang pembedahan kardiotorasik. Program ini telah mendapat akreditasi yang dilaksanakan bersama oleh MQA dan MMC.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menjelaskan isu pokok yang timbul berkaitan dengan kemelut Parallel Pathway dalam bidang pembedahan kardiotorasik ialah isu pengiktirafan latihan kepakaran 'parallel pathway' yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan.

Kedua, katanya adalah isu pendaftaran pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran 'parallel pathway' dalam Daftar Pakar (National Specialist Register – NSR) di bawah MMC.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, selaku badan utama yang mengawal selia dan memberi akreditrasi program pendidikan tinggi, MQA turut bekerjasama dengan 22 badan profesional seperti Lembaga Arkitek Malaysia, Lembaga Jurutera Malaysia dan Majlis Pergigian Malaysia untuk pelaksanaan program di IPT dalam negara dan kerjasama ini termasuk bersama MMC.

Dalam kerjasama ini, katanya, MQA bertanggungjawab memastikan pematuhan kualiti berdasarkan Kerangka Kelayakan Malaysia, manakala badan profesional memastikan pematuhan kualiti berdasarkan piawaian profesion yang dikawal selia mereka. 

Beliau berkata, kerjasama itu juga membabitkan program yang ditawarkan dari luar negara yang menjalankan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan.

Dalam menjalankan proses itu, katanya, pihak yang terbabit sama ada dari dalam atau luar negara mestilah terdiri daripada institusi yang ditubuhkan secara sah dan program berkenaan pula mendapat pengiktirafan di negara asalnya.

"Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan sudah pun mencari jalan terbaik dalam usaha menyelesaikan isu ini dan hasilnya telah dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.

"Mesyuarat (Kabinet) memutuskan untuk meminda Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bagi menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran melalui laluan 'parallel pathway' dan drafnya juga telah siap dan sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini (7 Jun 2024) untuk semakan.

"Di MQA, kami berharap perkara ini dapat diselesaikan segera dengan kaedah yang terbaik untuk semua pihak," katanya.